GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, January 20, 2014

Dasar Automotif Nasional 2014: Harga kereta bakal turun lagi


2014/01/20 - 05:55:43 AM 
Kereta CKD murah 30 peratus

Kuala Lumpur: Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 yang diumumkan hari ini dijangka turut membabitkan penurunan harga antara 20 hingga 30 peratus bagi kereta yang dipasang dalam negara (CKD) menjelang 2018. 

Bagi membolehkan harga yang lebih kompetitif, kerajaan dijangka mengambil pendekatan dengan menyediakan insentif untuk terus menggalakkan syarikat automotif membuka kilang pemasangan di negara ini. 

Menurut sumber industri, penurunan harga kereta juga selaras agenda kerajaan yang dinyatakan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan pelbagai langkah dilaksanakan sejak 2012.

Semakan semula DAN yang ditunggu-tunggu peserta industri, pelabur dan pengguna, menggariskan pelbagai langkah serta insentif menjadikan industri automotif negara lebih berdaya saing, menggalakkan pelaburan lebih besar dan merangsang pembangunan teknologi baru.

Dasar itu juga bertujuan meningkatkan penyertaan berterusan Bumiputera, menaikkan standard keselamatan dan menjadikan harga kereta lebih mampu untuk dibeli.

Kaji masalah pengguna

Fokus utama NAP 2014 adalah menangani isu berkaitan pengguna, peserta automotif serta masalah umum dalam industri itu. 
Dari segi industri, antara isu utama ialah penggunaan teknologi yang masih rendah dalam kalangan vendor, eksport rendah, permit import (AP) dan pekerja asing kurang mahir. 

Dari segi pengguna pula, kita tahu keluhan mereka adalah mengenai harga yang tinggi. Antara isu umum pula berkaitan standard bahan api yang rendah, faktor keselamatan serta kesan alam sekitar, kata seorang peserta industri. 

Mengenai pengurangan harga, beberapa pengeluar yang memasang kereta dalam negara sudah mengurangkan harga secara berperingkat. Antaranya Honda Jazz dikurangkan hingga 17 peratus, Nissan Sentra (13 peratus), PROTON Saga (12 peratus) dan terbaru PERODUA Alza (12 peratus). 

Dalam pada itu, kerajaan memulakan usaha mengurangkan kadar duti eksais di bawah Program Rangkaian Industri (ILP). Menerusi program itu, pengeluar bahagian kenderaan dari Malaysia dan negara ASEAN dibenarkan memohon rebat cukai, sekali gus membantu mengurangkan harga jualan.

Ketika ini, duti import adalah sehingga 30 peratus, manakala duti eksais antara 65 hingga 125 peratus. 

Selain itu, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan dijangka membantu mengurangkan harga kenderaan di negara ini.
Mengikut kajian, GST akan membantu mengurangkan harga kereta kerana cukai jualan kenderaan ketika ini adalah 10 peratus, manakala GST hanya enam peratus.

Tarik FDI

Sementara itu, penganalisis automotif tempatan berpendapat kerajaan dijangka mengumumkan pelbagai langkah dan insentif untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam segmen pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Langkah itu dilihat mempunyai kesan pengganda ekonomi yang besar dalam meningkatkan daya saing, menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat dan vendor automotif tempatan, pemindahan teknologi dan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia hab kenderaan EEV di rantau ini, kerajaan juga dijangka membuka permohonan Lesen Pembuatan (ML) kepada syarikat automotif asing dalam usaha menggalakkan pengeluar kereta dalam segmen berkenaan di negara ini.

Tawar lesen EEV

Kerajaan dijangka membuka pemberian lesen pengeluaran EEV secara menyeluruh. Kini lesen hanya diberikan kepada pemasangan kereta dengan kapasiti enjin tidak kurang 1800cc dan harganya perlu lebih daripada RM150,000 seunit, kata seorang sumber.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka langkah itu akan memberi kesan negatif kepada pengeluar kereta nasional seperti PROTON Holdings Bhd kerana ia adalah segmen kereta berbeza, membabitkan sistem enjin berteknologi tinggi dan harganya juga dalam kategori lebih mahal. 

Turut dijangka disentuh dalam NAP 2014 ialah dasar pemeriksaan kenderaan yang diperluaskan kepada kenderaan persendirian berbanding kenderaan komersial sekarang.

Bagaimanapun, penganalisis secara umumnya tidak menjangka kerajaan akan menguatkuasakan dasar pelupusan kenderaan.

Jika dilaksanakan, kerajaan terpaksa memberi kupon tunai RM5,000 kepada pengguna yang melupuskan kenderaan. Berdasarkan kedudukan fiskal semasa kerajaan, dasar itu berkemungkinan tidak dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, katanya.

No comments:

Post a Comment