Publication: HM
Date of publication: Jan 21, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 010
Byline / Author: Oleh Hafiz Ithnin
Kuala Lumpur: Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014) menjadi mekanisme baru kerajaan untuk menurunkan harga kenderaan terutama dalam segmen pemasangan tempatan (CKD) sehingga 30 peratus menjelang 2017.
Antara langkah yang dilihat mampu menurunkan harga kenderaan menerusi NAP ialah meningkatkan persaingan antara pemain industri dan bakal menggantikan cukai jualan sebanyak 10 peratus kepada enam peratus iaitu cukai perkhidmatan dan barangan (GST) bermula 2015 hingga 2018.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, NAP 2014 meliputi tiga teras hala tuju dan tiga teras strategi. Teras hala tuju merangkumi pelaburan; teknologi dan kejuruteraan; serta peluasan pasaran.
Sementara teras strategi pula meliputi pembangunan rantaian pembekal komponen dan alat ganti; pembangunan modal insan; serta keselamatan dan alam sekitar.
"Dari segi modal insan, NAP 2014 menjangkakan dapat menawarkan lebih 150,000 peluang pekerjaan dan menggantikan 80 peratus pekerja asing dalam bidang ini menjelang 2020.
"Selain itu, kerajaan juga tidak akan melaksanakan polisi menamatkan jangka hayat kenderaan selepas 15 tahun, tetapi menggantikannya dengan pemeriksaan kenderaan secara suka rela," katanya pada majlis pengumuman NAP 2014, di sini semalam.
Antara objektif NAP 2014 adalah bagi mewujudkan industri automotif tempatan yang lebih kompetitif dan berdaya saing, membangunkan Malaysia sebagai pusat automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) dan menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mampan serta pembinaan keupayaan tempatan.
NAP 2014 juga bermatlamat untuk menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mampan serta membina keupayaan tempatan, meningkatkan tahap eksport kenderaan dan komponen serta alat ganti dalam sektor pembuatan dan lepas jualan.
Mustapa berkata, dasar itu juga untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dalam industri automotif tempatan termasuk lepas jualan.
"Bagi meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam industri automotif khususnya bagi sektor pembuatan dan lepas jualan, NAP 2014 memperkenalkan langkah seperti penyediaan peruntukan RM75 juta dari 2014 hingga 2019 untuk pembangunan teknologi modal insan dan rantaian bekalan," katanya.
No comments:
Post a Comment