GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 10, 2013

Pesara diminta bantu jelaskan isu kepada rakyat



NAJIB Tun Razak bersalaman dengan para pesara yang menyambut ketibaan
beliau pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-3 Kelab UMNO
Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) di Dewan Sri Siantan,
Perbadanan Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA 9 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pesara-pesara memainkan peranan membantu kerajaan memperjelaskan pelbagai isu termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat.

Beliau berkata, sokongan yang diberikan oleh pesara boleh membantu menggerakkan agenda kerajaan serta menjadikan Malaysia sebuah negara Islam moden dan progresif.

Menurutnya, dalam tempoh beberapa tahun lagi negara ini akan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi justeru pelbagai cabaran terpaksa dihadapi untuk mencapai ke arah itu.

"Inilah yang saya harap sangat-sangat, tolonglah bantu kerajaan buat yang terbaik, jangan bagi ruang kepada orang lain (perlekehkan usaha kerajaan) sebab hendak sampai ke situ (negara maju) banyak yang perlu diterangkan kepada rakyat.

"Misalnya kita nak laksanakan GST, kita sembahyang di masjid, surau, kita kena kutuk, tuan-tuan angguk sahaja kerana lebih mudah mengiyakan daripada kita memperbetulkan apa yang dikatakan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-3 Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden KUPKKM, Tan Sri Aseh Che Mat.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin yang memiliki nilai keintelektualan dan integriti yang tinggi mereka seharusnya menolong kerajaan memberikan penjelasan kepada rakyat demi kemakmuran negara.

Menurutnya, sebagai bekas pegawai kerajaan yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing para pesara sangat memahami mengapa kewangan negara perlu terus dikukuhkan.

"Untuk apa? Supaya ekonomi kita kuat. Bila ekonomi kuat kita boleh menolong rakyat dengan lebih mudah lagi pada masa akan datang termasuk anggota perkhidmatan awam dan pesara-pesara kerajaan," katanya.

Katanya, UMNO terus perlu kukuh sebagai parti pemerintah namun kebergantungan kepada kejayaan silam semata-mata bukan jaminan untuk kejayaan pada masa hadapan.

"Walaupun sukar untuk memuaskan hati semua pihak UMNO tidak akan jemu dalam memperjuangkan nasib rakyat dan mahu para pesara meneruskan perjuangan kepada bangsa dan tanah air.

"Cuba bayangkan kita tanpa UMNO, di mana kita akan bergantung harap, di mana kita akan bernaung, di mana kita akan dapat pembelaan melainkan UMNO akan terus berjuang.

"Bolehkah kita harapkan pihak lain? Siapa yang hina pegawai kerajaan, siapa yang kata mereka kucing kurap, siapa yang nak kecilkan jumlah penjawat awam kalau berkuasa, siapa kata bahawa Lahad Datu sandiwara, siapa yang membela institusi awam sejak dulu dan selama-lamanya selain UMNO," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment