Publication: BH
Date of publication: Dec 11, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Shahrizan Salian
Pemulihan pasaran eksport serta kemasukan pelaburan secara konsisten membolehkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang kukuh pada kadar 5.2 peratus tahun depan, kata ahli ekonomi sebuah bank antarabangsa.
Ahli Ekonomi Kanan United Overseas Bank (UOB), Alvin Liew, berkata kedua-dua faktor itu juga akan disokong pengukuhan permintaan domestik serta pemulihan ekonomi global.
"Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran pelaburan langsung asing (FDI) yang menarik dalam kalangan ekonomi sedang pesat berkembang di rantau ini, manakala eksport dijangka kembali meningkat pada tahun depan selepas mencatatkan angka mengecewakan pada tahun ini.
"Kedua-dua faktor itu akan menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia pada 2014 dan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus adalah kadar yang sangat baik bagi negara ini," katanya pada taklimat tinjauan ekonomi Asia dan Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
Tepati sasaran kerajaan
Bank ketiga terbesar Asia Tenggara dari segi aset itu, mengunjurkan ekonomi Malaysia pada berkembang sederhana 4.5 peratus tahun ini, sekali gus menepati sasaran kerajaan.
Liew berkata, kerancakan kegiatan ekonomi yang dipacu pelaburan sektor swasta di Malaysia berpotensi meningkatkan kapasiti produktiviti negara ini dan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang daripada sehi pendapatan.
"Perkembangan itu akan meningkatkan kuasa beli pengguna dan seterusnya merangsang pertumbuhan perbelanjaan domestik.
"Terdapat banyak lagi bidang yang boleh dipertingkatkan seperti peluang terdapat dalam sektor pengeluaran dan Malaysia mesti proaktif untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara," katanya.
Mengenai pelaksanaan pembaharuan rejim cukai, penyusunan semula subsidi serta beberapa inisiatif lain yang akan dilaksanakan kerajaan seperti diumumkan pada Bajet 2014, Liew berkata langkah berkenaan adalah wajar untuk mengukuhkan kedudukan kewangan serta mengurangkan lagi perbelanjaan kasar persekutuan.
Tegasnya, langkah itu juga adalah mustahak untuk sekurang- kurangnya membendung defisit fiskal negara pada 3.5 peratus tahun depan.
Kurangkan defisit fiskal
"Pengenalan sistem cukai baru seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa pada 2015, antara lain telah mencerminkan keazaman kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal dalam jangka panjang," katanya.
Beliau menambah, langkah yang bakal dilaksanakan kerajaan itu tidak akan memberikan kesan keterlaluan terhadap kadar inflasi tempatan yang diunjurkan meningkat 2.9 peratus pada 2014 berbanding anggaran 2.1 peratus tahun ini.
Katanya, angka berkenaan adalah kadar yang masih boleh diterima dan Bank Negara Malaysia dijangka akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengimbangkan antara pertumbuhan dengan kenaikan harga.
No comments:
Post a Comment