Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mahu Barisan Nasional (BN) membawa dasar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang hendak diperkenalkan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk menentukan sama ada ia mendapat sokongan atau tidak.
Kata pemimpin-pemimpin PR, rakyat harus diberi pilihan sama ada menerima GST BN atau perikatan mereka yang menolak GST.
"Barisan Nasional patut mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang dan tanyakan sendiri kepada rakyat Malaysia sama ada mereka akan memilih sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat: sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST," kata tiga pemimpin PR dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi satu kenyataan media bersama yang dihantar hari ini, PR mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu, mengesahkan bahawa GST, yang ditangguhkan pelaksanaannya, kini semakin hampir.
Pendirian itu bersandarkan kepada petikan ucapan Perdana Menteri yang menyebut “selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah."
Dalam kenyataan media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa, DAP Liew Chin Tong dan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Najib selaku Menteri Kewangan dikatakan sedaya upaya cuba meyakinkan sektor kewangan bahawa kerajaan persekutuan mampu untuk meneruskan pentadbiran yang dipenuhi ketirisan dan budaya rasuah tanpa melakukan islah dan reformasi yang menyeluruh ke atas struktur ekonomi yang dipenuhi budaya kronisme.
"Pada masa yang sama, beliau juga sedar dengan pelaksanaan satu cukai penggunaan yang baru dan menyeluruh ke atas rakyat yang tidak mampu menanggungnya adalah satu langkah yang penuh liku,” tulis kenyataan itu.
Ucapan Perdana Menteri, menurut mereka, dikatakan jelas sama sekali bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan Kabinet April lalu.
PR juga mendakwa kerajaan cuba memperdaya Parlimen  April lalu apabila ditanya mengenai kaitan antara GST dan Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam jawapannya mengatakan bahawa “Tukar tiada kaitan dengan GST.”
Kata mereka, laman web kementerian tersebut turut menyatakan bahawa objektif Tukar, sebagai salah satu EPP yang bertujuan memodenkan kedai runcit di bawah NKEA termasuk  program membangunkan  kedai-kedai runcit tempatan jenis ‘’mom and pop’, peningkatan tahap kompetitif peruncit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan usaha-usaha menyediakan peruncit untuk pelaksanaan GST.
Menurut kenyataan media itu lagi, kata mereka, PR akan terus menentang pelaksaan GST sehinggalah beberapa perkara diselesaikan termasuklah antaranya kerajaan pasca-PRU13 nanti perlu mengambil langkah agar tidak menzalimi golongan menengah dan golongan miskin, tetapi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan pendapatan boleh guna demi memastikan kualiti hidup ditingkatkan.
Dalam masa sama, mereka mempunyai lebih banyak wang agar boleh membantu memacu ekonomi dalam negeri, kata ketiga-tiga mereka.
"Jika mereka dicukai, maka pendapatan boleh guna mereka berkurangan. Tanpa islah dan reformasi, kerajaan juga dikatakan tiada hak moral untuk melaksanakan apa-apa sistem baru sama ada GST mahupun apa sahaja," katanya lagi.