GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 2, 2012

Kerajaan tidak ikhlas laksana GST


Amirul Azam Zulkafli | October 2, 2012
Jumlah golongan berpendapatan sederhana terlalu besar untuk dikecualikan GST
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa BN tidak ikhlas dalam pelaksanaan GST, malah kelihatan seperti menggunakan tipu helah untuk mengaburkan pelaksanaan ini di dalam Bajet 2013 yang baru dibentang minggu lalu.

Dalam kenyataan media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas ingin meyakinkan sektor kewangan bahawa kerajaan persekutuan mampu untuk meneruskan pentadbiran yang dipenuhi ketirisan dan budaya rasuah tanpa melakukan islah dan reformasi yang menyeluruh ke atas struktur ekonomi yang dipenuhi budaya kronisme.
“Pada masa yang sama, beliau juga sedar dengan pelaksanaan satu cukai penggunaan yang baru dan menyeluruh ke atas rakyat yang tidak mampu menanggungnya adalah satu langkah yang penuh liku.
“Perenggan 80 hingga 83 dalam ucapan bajet Menteri Kewangan mengandungi kod-kod yang berkata kepada sektor kewangan bahawa pelaksanaan GST amat hampir.
“Ucapan Perdana Menteri ini jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan kabinet beliau,” kata mereka.
Ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat itu mendakwa, April lalu, apabila ditanya di Parlimen mengenai kaitan antara GST dan TUKAR (Program Transformasi Kedai Runcit) Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengatakan bahawa “TUKAR tiada kaitan dengan GST.”
Kenyataan yang bercanggah sebegini adalah percubaan untuk menipu Parlimen, wakil rakyat, dan rakyat Malaysia amnya.
Laman web Kementerian tersebut turut menyatakan bahawa objektif TUKAR, sebagai salah satu EPP yang bertujuan memodenkan kedai runcit di bawah NKEA termasuk:
  • program membangunkan  kedai-kedai runcit tempatan jenis ‘’mom and pop’
  • peningkatan tahap kompetitif peruncit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan
  • usaha-usaha menyediakan peruncit untuk pelaksanaan GST.
Pakatan tentang GST
Pakatan Rakyat menyatakan penentangan perlaksanaan GST hingga beberapa perkara diselesaikan iaitu, tanpa islah dan reformasi ke atas sistem yang dipenuhi rasuah dan budaya kronisme.
Kerajaan kata mereka, tiada hak moral untuk melaksanakan apa-apa sistem cukai baru samada GST mahupun apa sahaja dan kedua, kerajaan pasca-PRU13 nanti perlu mengambil langkah agar tidak menzalimi golongan menengah dan golongan miskin, tetapi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan pendapatan boleh guna demi memastikan kualiti hidup ditingkatkan, serta mereka mempunyai lebih banyak wang agar boleh membantu memacu ekonomi dalam negeri.
“Jika mereka dicukai, maka pendapatan boleh guna mereka berkurangan.
“Kerajaan BN awajib ingat bahawa 60 peratus isi rumah mempunyai pendapatan bulanan kurang RM3,000, yang membolehkan mereka menyertai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Dengan terlaksananya cukai GST, kumpulan ini terpaksa membayar cukai yang lebih dari apa yang mereka dapat dari BR1M”, kata mereka.
Tanggapan bahawa beberapa ratus jenis barangan yang dinikmati golongan miskin tidak dikenakan cukai GST tidak benar kerana pelaksanaan BR1M membuktikan golongan menengah dan miskin merupakan 60 peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini.
“Kerajaan wajib ikhlas dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat mengenai dasar-dasar ekonomi, lebih-lebih lagi apabila berkaitan isu cukai. Untuk berselindung di sebalik kod-kod dan kenyataan yang samar adalah satu tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab”, tegas mereka.
“BN patut mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang dan tanyakan sendiri kepada rakyat Malaysia sama ada mereka akan memilih sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat, sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST,” tambah mereka.

No comments:

Post a Comment