ARKIB : 02/10/2012
TIDAK keterlaluan dikatakan hampir keseluruhan masyarakat merangkumi pelbagai sektor pekerjaan dan umur bakal memperoleh manfaat daripada Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada petang Jumaat 28 September lalu.
Dari sebesar-besar ahli perniagaan sehinggalah golongan penjaja dan peniaga kecil, mereka ini sama sekali tidak dilupakan. Malahan, golongan gelandangan pun boleh berasa gembira kerana dibantu untuk menjalani kehidupan mereka ketika susah supaya mereka ini dapat berdikari dalam menjalani kehidupan seharian pada masa akan datang.
Meneliti satu persatu insentif dalam Bajet 2013, tidak salah dikatakan bahawa bajet kali ini mesra rakyat berorientasikan golongan belia. Ini kerana golongan inilah yang paling banyak mendapat manfaat daripada Bajet 2013 sehingga diberikan insentif untuk pembelian telefon pintar. Bajet ini banyak menyentuh keperluan golongan belia, maka ia nampak 'segar dan muda'.
Namun demikian, Bajet 2013 tidak meminggirkan golongan warga emas apabila mereka juga tidak ketinggalan memperoleh manfaat daripada Bajet 2013.
Kerajaan secara dasarnya telah bersetuju untuk meningkatkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820. Peningkatan ini serba sedikit boleh mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh warga emas.
Walaupun pelbagai nama diberikan untuk bajet tahunan negara pada kali ini seperti terdapat para penganalisis berpendapat Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya dengan pelbagai bentuk buah tangan untuk rakyat, namun apa yang penting bajet ini bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi juga realistik dilaksanakan berdasarkan kemampuan kewangan negara.
Pada masa sama, Bajet 2013 digubal untuk kemampanan ekonomi negara. Umpamanya, defisit fiskal berkurangan daripada 4.5 peratus dalam Bajet 2012 kepada empat peratus bagi Bajet 2013.
Begitu juga, kerajaan sentiasa menyasarkan hutang negara berada pada paras tidak melebihi 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ekonomi negara dijangka akan mengalami pertumbuhan di antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun depan.
Ketika kebanyakan negara lain tercari-cari strategi ampuh untuk mengukuhkan ekonomi masing-masing dengan meningkatkan hasil negara, Malaysia saban tahun telah berjaya mengukuhkan hasil negara.
Ini adalah penting kerana bagi mana-mana negara sekalipun hasil kerajaan persekutuan adalah cerminan sejauh manakah ekonomi sesebuah negara itu berada pada tahap yang kukuh.
Lagi tinggi pertumbuhan pendapatan atau hasil sesebuah negara, lagi banyak aktiviti ekonomi boleh dilaksanakan untuk rakyat dan negara.
Sekalung tahniah buat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang berjaya membantu meningkatkan hasil negara. Kecekapan sistem percukaian Malaysia telah mengurangkan ketirisian dalam kutipan cukai.
Bayangkan Malaysia antara segelintir kecil negara di dunia yang masih tidak lagi melaksanakan cukai ke atas penggunaan iaitu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi saban tahun berjaya meningkatkan kutipan cukai ke atas pendapatan.
Ini menunjukkan struktur percukaian negara kita semakin hari semakin cekap dan berkesan. Melalui Bajet 2013, rakyat boleh berasa lega kerana tiada pengumuman pelaksanaan GST.
Namun demikian, untuk meningkatkan dan mempelbagaikan sumber hasil negara, GST adalah salah satu sistem percukaian yang patut dilaksanakan.
Cuma persoalan utamanya bilakah masa yang paling sesuai untuk dilaksanakan. Ini kerana bagi pengamatan rakyat biasa, GST bakal membebankan rakyat.
Sebenarnya perkara ini tidak timbul sama sekali jika rakyat memahami bahawa GST tidak dikenakan untuk barangan dan perkhidmatan asas untuk mereka seperti barangan keperluan dan pengangkutan awam.
Sebab itulah kerajaan perlu memberi pemahaman kepada rakyat secara menyeluruh dan pada masa yang sama mendapatkan 'izin' daripada rakyat untuk melaksanakannya sebagaimana kerajaan telah mengadakan perundingan dengan rakyat bagi mendapatkan 'konsensus' dalam menyediakan Bajet 2013.
Ini kerana ramai yang cuba membandingkan negara kita dan negara Singapura yang mana cukai korporat dan cukai pendapatan individu adalah lebih rendah berbanding negara kita tetapi ramai yang tidak menyedari sebenarnya cukai di negara tersebut adalah lebih tinggi berbanding di negara kita dengan mengambil kira GST.
Perbandingan tanpa melibatkan GST memberi gambaran yang salah bahawa cukai di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara tersebut. Ketika ini GST di Singapura adalah pada kadar tujuh peratus, iaitu suatu angka yang agak tinggi.
Sebab itulah rakyat boleh berasa lega apabila kerajaan tidak mengumumkan sebarang peningkatan cukai yang membebankan mereka kecuali cukai keuntungan hartanah (RPGT) dan merasionalisasikan subsidi gula. Itupun ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat bagi mengekang harga rumah yang melambung tinggi dan meningkatkan lagi taraf kesihatan rakyat.
Bagi merealisasikan status negara maju pada tahun 2020, pelbagai insentif juga diberikan untuk memacu aktiviti ekonomi domestik iaitu melalui pelaburan dan permintaan domestik.
Sebagai contoh, pelbagai insentif untuk para usahawan yang terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti menyediakan dana sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang akan dikendalikan SME Bank bakal meningkatkan lagi perbelanjaan sektor swasta.
Strategi sebegini bukan sahaja amat penting untuk memastikan negara kita makmur dan berdaya saing ketika ketidaktentuan ekonomi dunia tetapi pada masa yang sama kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121002/re_02/Bajet-realistik-untuk-rakyat#ixzz2WdDltFxE
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment