GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, February 6, 2014

Panduan barang, perkhidmatan kena GST elak pengguna ditipu


Publication: BH
Date of publication: Jan 31, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 001

Kerajaan akan mengeluarkan satu set panduan lengkap atau `shopper's guide' harga bagi barangan serta perkhidmatan yang akan dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pada 1 Januari 2015.

Panduan yang boleh diakses menerusi laman web itu, akan disertakan dengan jumlah peratusan pengurangan dan peningkatan harga bagi barangan serta perkhidmatan apabila GST dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata panduan lengkap itu bertujuan membantu pengguna supaya tidak tertipu dengan peniaga yang mengambil kesempatan dan memutarbelitkan harga apabila GST mula diperkenalkan kelak.

Tiga bulan sebelum laksana GST

"Kerajaan akan mengeluarkan satu set panduan lengkap harga barangan dan perkhidmatan pada 1 Januari 2015, iaitu tiga bulan sebelum GST mula dilaksanakan.

"Dalam set panduan itu akan ada beratus harga barangan, senarai nama produk, barangan dan perkhidmatan. Saya sudah melihatnya dan meminta pegawai memperbaiki lagi dengan menyenaraikan kenaikan dan penurunan harga serta peratusannya," katanya pada media selepas Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad berkata, kerajaan akan menyenaraikan semua jenis barangan dan perkhidmatan yang selalu digunakan pengguna menerusi set panduan lengkap berkenaan yang akan diedarkan di seluruh negara.

Katanya, pengenalan set panduan lengkap harga barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST itu supaya peniaga, pemborong dan peruncit tidak sewenangwenangnya menaikkan harga barang.

"Semua peniaga, pemborong dan peruncit perlu ingat bahawa kesan akhir GST ialah harga barangan dan perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan sehingga 10 peratus turun, bukannya (harga) naik," katanya.

No comments:

Post a Comment