2014/02/06 - 02:40:02 AM
Cadangan supaya jemaah menteri diberi kursus untuk berhadapan dengan media adalah baik. Sesetengah menteri tidak memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik semasa berhadapan dengan media. Mereka juga didapati tidak menguasai asas proses komunikasi untuk menyampaikan maklumat dengan jayanya.
Secara umumnya, komunikasi membabitkan penyampaian maklumat yang kemudian boleh membawa kepada penyebarannya.
Oleh itu, adalah penting untuk seseorang itu mempunyai pengetahuan baik tentang proses penyampaian dan penyebaran ini.
Ini untuk memastikan sesuatu maklumat itu difahami dengan baik untuk disebarkan kelak.
Komunikasi berkesan, yakni kebolehan menyampaikan maklumat dengan baik, lebih-lebih lagi secara lisan, adalah antara syarat penting dalam perkembangan kerjaya banyak pihak. Ia memberi tumpuan kepada pelbagai unsur komunikasi yang berjaya, termasuklah kebolehan bercakap dengan pihak yang mempunyai sikap permusuhan.
Kebolehan begini sudah tentu amat bernilai kepada seseorang menteri dalam memberi tindak balas kepada pelbagai isu negara sewaktu berhadapan dengan media dalam komunikasi kelompok kecil. Ia juga penting apabila menghadapi khalayak dalam komunikasi awam.
Selain ini, bahasa ikut memainkan peranan penting dalam komunikasi. Melalui penggunaan bahasa yang jelas dan tepat, seseorang itu dapat menyatakan pendapat dan pemikirannya bukan saja dengan mudah, tetapi baik pula.
Perkataan dan susunannya dalam pelbagai gaya, tentu boleh menghasilkan pelbagai kesan.
Sebagai contoh, dalam kebanyakan keadaan, penggunaan perkataan dan ayat konkrit yang lebih langsung sifatnya dan tepat pula mesejnya, didapati lebih berkesan daripada penggunaan gaya abstrak.
Penggunaan perkataan dan ayat abstrak boleh membawa kepada pelbagai pengertian dan salah faham.
Aspek bahasa
Perkataan adalah aspek bahasa yang penting dalam komunikasi. Melalui pemilihannya yang tepat, seseorang itu bukan saja mampu menghuraikan isu rumit. Dia juga dapat berkomunikasi dengan kumpulan sasar lebih lancar yang dapat memahami maklumat yang disampaikan itu dengan jelas.
Untuk menyampai dan menyebarluaskan dasar kerajaan, seorang menteri itu perlu antaranya menggunakan corak bujukan semasa berkomunikasi, baik dengan media mahupun khalayak.
Corak berbahasa ini mempunyai dampak penting ke atas rakyat, untuk membuat keputusan positif terhadap maklumat yang disampaikan.
Bahasa bujukan
Tujuan bahasa bujukan adalah untuk membangkitkan kepercayaan dan mewujudkan keyakinan pada pihak yang disasarkan. Dengan ini, pihak yang disasar dapat dipengaruhi untuk menukar sikap mereka daripada yang negatif kepada yang sebaliknya.
Sebagai contoh, ini boleh berlaku apabila rakyat mula menerima gagasan untuk berkongsi kenderaan semasa berulang-alik ke tempat bertugas, setelah diusulkan oleh kerajaan.
Untuk diterima rakyat, usul kerajaan ini perlu dilakukan berlandaskan logik. Ini bermakna ia menggunakan pertimbangan rasional yang boleh mengambil bentuk paparan dalil.
Untuk ini, pelbagai bukti beberapa sumber digunakan untuk memperlihat kearifan tindakan berkongsi kenderaan itu.
Selain dalil digunakan, kredibiliti pihak bercakap adalah syarat lain yang penting dalam komunikasi, khususnya corak bujukan.
Sehubungan ini, beberapa aspek, antaranya kecekapan, amanah dan orientasi pada pihak bercakap penting.
Seorang menteri berkebolehan, boleh dipercayai dan berprinsip, sewaktu menyampaikan maklumat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), didapati lebih berjaya memujuk rakyat menerima gagasan baharu ini. Beliau dilihat seorang yang berwibawa.
Kewibawaan ini yang ikut diperlihat melalui pengetahuan beliau yang luas, setelah memahaminya dengan baik daripada taklimat yang diberikan dan pembacaan sendiri, sudah tentu dapat menyakinkan rakyat segala apa yang disampaikan mengenai GST itu adalah rasional, dan perlu disokong.
Dalam pada itu, bahasa bujukan itu yang digunakan oleh menteri itu hendaklah juga kuat dan mantap dari beberapa segi lain. Antaranya penghujahan, pembuktian dan penyangkalan.
Secara umumnya, penghujahan adalah usaha mengetengahkan saranan GST dan pewajarannya.
Pembuktian pula merujuk kepada usaha mengemukakan maklumat mengenai GST. Manakala penyangkalan adalah usaha membantah hujah dikemukakan pihak yang menentang GST.
Sebenarnya bahasa bujukan ini tidak wujud begitu saja. Ia perlu dirancang untuk disampaikan dengan hemat kepada rakyat.
Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
No comments:
Post a Comment