GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, February 6, 2014

Faedah rasionalisasi subsidi, GST


Publication: BH
Date of publication: Jan 31, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 031
Byline / Author: Oleh Anwar Patho Rohman

Meskipun diberi konotasi negatif oleh pembangkang, kerajaan membuktikan ia mampu merancang pelbagai strategi untuk menyelesaikan cabaran kewangan semasa. Ia ada kaitan dengan rasionalisasi subsidi dan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai 2015.

Cabaran utama kerajaan kini ialah bagaimana melaksanakan rasionalisasi subsidi tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Cabaran kedua pula bagaimana hendak menangkis dengan bijak dakwaan pihak lain terutama pembangkang kononnya ekonomi Malaysia berada dalam keadaan teruk, hutang negara tidak terurus dan silap hari bulan negara boleh menjadi muflis.

Kenyataan pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membayangkan seolah-olah bebanan hutang Kerajaan Pusat menyebabkan rakyat menerima kesannya.

Malah, pembangkang mendakwa negara akan muflis menjelang 2019. Akibatnya ramai kalangan rakyat menjadi keliru dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Hakikatnya, pelbagai usaha dan pelan tindakan sudah serta sedang dilaksanakan kerajaan bagi menangani isu berbangkit atau dibangkitkan pihak tertentu mengenainya.

Rasionalisasi subsidi

Apa yang perlu difahami rakyat sekarang ialah mengapa rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan dan apakah manfaat yang bakal diperoleh menerusi tindakan itu.

Mungkin rakyat tidak menyedari kadar peningkatan jumlah subsidi bahan api yang terpaksa ditanggung kerajaan demi memenuhi keperluan rakyat setiap tahun terutama antara 2000 hingga 2012.

Sebagai rujukan, pada 2000, jumlah subsidi bahan api yang ditanggung kerajaan RM4.8 bilion, tetapi pada 2011, jumlahnya meningkat kepada RM36 bilion dan pada 2012 jumlahnya mencecah sehingga RM44 bilion. Berdasarkan jumlah subsidi RM44 bilion ini, apakah kaitannya dengan usaha kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Jumlah itu dianggap terlalu tinggi dan hampir menyamai bajet perbelanjaan pembangunan kerajaan RM47 bilion pada tahun berkenaan.

Menurut Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan hari ini adalah beban keterlaluan dalam perbelanjaan kerajaan.

"Berdasarkan jumlah subsidi sebanyak itu, kerajaan boleh berbelanja untuk membina 200 hospital atau mendirikan 400 sekolah atau bersamaan membina lima lebuh raya yang dapat mengelilingi Semenanjung," katanya ketika menjelaskan senario ekonomi negara dalam program Dialog Isu Semasa Negara anjuran Bahagian Perancangan Strategik, Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Justeru, menurut Azlan lagi, rasionalisasi subsidi adalah tindakan yang terpaksa kerajaan lakukan bukan saja bertujuan mengurangkan defisit perbelanjaan, tetapi memberi keadilan kepada rakyat keseluruhannya.

Berdasarkan sistem subsidi yang dilaksanakan hari ini, seluruh rakyat tanpa mengira kedudukan dan status kewangan mereka, terutama orang kaya akan menikmati subsidi berkenaan.

Keadilan untuk semua rakyat

"Untuk beri keadilan kepada seluruh rakyat, kita menggunapakai kaedah mengenal pasti (identification) penerima dan mengagihkan dalam bentuk yang wajar seperti memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan RM100 untuk pelajar sekolah," katanya.

Rentetan daripada langkah rasionalisasi ini, timbul pula dakwaan yang kontroversi apabila ada pihak lain menyatakan kedudukan ekonomi negara ketika ini kritikal sehingga mendorong kerajaan mengurangkan subsidi.

Azlan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan pada asasnya, langkah rasionalisasi subsidi tidak bermakna kedudukan ekonomi negara goyah.

"Ekonomi Malaysia berkembang 78 kali lebih besar sejak 1970 hingga 2012. Jumlah pendapatan juga meningkat 29 kali, manakala kadar kemiskinan juga dapat dikurangkan 29 kali sepanjang tempoh itu," katanya.

Pada 1970, pendapatan negara berjumlah RM12 bilion dan 39 tahun kemudian ia meningkat menjadi RM713 bilion pada 2009 dan RM938 bilion pada 2012.

Berkaitan dakwaan mengatakan Malaysia berdepan krisis kewangan, beliau menjelaskan bahawa ia bukan disebabkan faktor domestik, tetapi berpunca daripada kejutan ekonomi yang berlaku pada peringkat global.

No comments:

Post a Comment