GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, September 9, 2013

Tanggungjawab atasi populariti



ARKIB : 08/09/2013
Oleh Rohami Shafie

BAHANG ekoran kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan minggu ini masih terasa. Perdebatan dan perbincangan serta rasa tidak puas hati di kalangan rakyat jelas kelihatan di blog-blog dan laman-laman sosial.

Terdapat golongan yang hanya mahukan segala-galanya murah. Kalau boleh diberi percuma. Dalam dunia materialistik dan mementingkan diri ini mana mungkin segala-galanya murah dan percuma kecuali yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Masalahnya diri sendiri mahu murah tetapi untuk orang lain tidak langsung dipedulikan. Tanyalah peniaga-peniaga yang berkemungkinan besar menaikkan harga barangan dan perkhidmatan ekoran kenaikan harga minyak, pastinya mereka juga akan berasa tidak puas hati jika terpaksa membeli barangan keperluan dengan harga yang semakin mahal.

Sudah menjadi lumrah, kebelakangan ini, apabila harga minyak naik, harga barangan lain juga dinaikkan serta merta. Amaran demi amaran dibuat oleh pihak berkuasa tidak langsung diendahkan.

Tidak ramai peniaga yang benar-benar berniaga demi masyarakat. Yang ramai, mahu kaut untung cepat agar cepat kaya. Inilah yang menjadi kebimbangan dan kegelisahan rakyat apabila harga minyak naik.

Sebab itulah isu kenaikan harga minyak boleh membangkitkan kemarahan rakyat. Kalau setakat harga minyak sahaja naik, tidaklah begitu ketara kemarahan rakyat.

Yang menerima akibatnya pastinya kerajaan, walhal untuk menangani isu harga minyak ini bukanlah mudah seperti disangka oleh rakyat biasa. Rakyat perlu diberi penerangan sewajarnya.

Sebaik-baiknya berilah penerangan sebelum harga minyak dinaikkan. Beri pemahaman yang sejelas-jelasnya bahawa kerajaan menaikkan harga minyak setelah mengkaji baik buruknya.

Kerajaan tidak mungkin menaikkan harga minyak tanpa mengkajinya sebaik mungkin. Kelembapan ekonomi negara-negara Barat, pengurangan rangsangan ekonomi AS, dan berkemungkinan tindakan ketenteraan AS dan sekutu-sekutunya ke atas negara Syria serta faktor ekonomi dan kewangan negara adalah penyebab-penyebab utama harga minyak dirasionalisasikan.

Dalam konteks ekonomi dan kewangan negara, subsidi yang tinggi meningkatkan defisit fiskal. Defisit bermaksud perbelanjaan melebihi pendapatan. Defisit semakin tinggi apabila perbelanjaan semakin meningkat mengatasi pendapatan sedia ada.

Dengan kata mudah, apabila harga minyak dunia meningkat, kerajaan terpaksa meningkatkan subsidi untuk mengekalkan harga minyak pada kadar RM1.90. Peningkatan subsidi ini akan meningkatkan defisit fiskal.

Apabila defisit fiskal meningkat kerajaan terpaksa membuat pinjaman. Hutang semakin tidak terkawal jika sekiranya jumlahnya terlalu tinggi. Sampai satu tahap, kerajaan tidak mampu membayar kembali hutang tersebut. Kemelesetan ekonomi akan berlaku.

Ramai yang akan menganggur dan tidak mampu menyara kehidupan seharian. Semakin ramai rakyat yang terdesak untuk menyara hidup seharian, semakin bertambahlah rakyat yang akan bangun memberontak. Akhirnya negara tidak stabil.

Kacau bilau dijangka berlaku dengan berleluasa. Jenayah juga akan semakin parah. Asalnya hanyalah sekadar isu kecil kerana kerajaan mahu kekal popular dengan menyenangkan hati rakyat tetapi ia boleh merebak menjadi barah tahap keempat jika tidak diurus dengan baik.

Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat dan sentiasa istiqamah dalam menyatakan kebenaran. Kerajaan tidak boleh sekadar dahagakan populariti. Demi kelangsungan rakyat dan negara, tanggungjawab mengatasi populariti.

Sasaran defisit fiskal pada tahun ini adalah pada kadar empat peratus. Perlu diingat, baru-baru ini sebuah badan penarafan antarabangsa telah menurunkan penarafan kredit Malaysia. Sebaik sahaja penarafan diturunkan, pasaran saham kita turun dengan banyaknya dan pada masa yang sama ringgit semakin lemah berbanding Dollar AS.

Bayangkan apa akan berlaku jika sekiranya defisit fiskal semakin tinggi, hutang kerajaan semakin melebar dan tidak terkawal, pastinya badan-badan penarafan antarabangsa akan semakin menurunkan penarafan mereka ke atas negara kita ke tahap paling rendah.

Subsidi

Maruah negara akan tercalar. Ketika inilah ‘ah long-ah long’ antarabangsa akan cucuk jarum dengan menghulurkan "bantuan" kepada negara tetapi sudah tentunya bersyarat. Apa lagi kalau bukan kena ikut telunjuk mereka!

Bermaksud keputusan negara ditentukan oleh orang asing. Negara akan dijajah semula. Bukan dengan ketenteraan tetapi dengan penjajahan ekonomi.

Selain penerangan di atas, kenaikan harga minyak boleh mengurangkan penyeludupan minyak ke negara jiran. Minyak adalah hasil bumi yang terhad. Penggunaan yang tidak dikawal boleh merugikan generasi masa hadapan.

Sebaliknya, harga minyak dunia tidak boleh dikawal kerana ia ditentukan oleh pasaran. Subsidi yang banyak ke atas minyak boleh merugikan rakyat secara keseluruhannya.

Dahulu, bolehlah subsidi dikekalkan ke atas harga minyak kerana harganya stabil. Jumlah kenderaan pula tidaklah begitu banyak di atas jalan raya. Tetapi kini kenderaan semakin bertambah banyak.

Buktinya plat kenderaan Wilayah Persekutuan pun sudah hampir sampai ke plat WYY 9999. Tidak cukup dengan bukti ini, lihatlah kesesakan lalu lintas ketika rakyat Malaysia balik ke kampung sempena cuti perayaan.

Menyalurkan subsidi minyak kepada semua orang juga bermaksud memberi kemudahan subsidi kepada orang kaya dan warga asing. Yang kaya tidak memerlukan subsidi.

Begitu juga, warga asing pula tidak patut ‘makan’ wang rakyat Malaysia. Wang subsidi tersebut perlu diberikan kepada rakyat Malaysia yang lebih memerlukan.

Dalam konteks ini, apa yang perlu kerajaan lakukan ialah dengan mengurangkan kesan negatifnya ke atas rakyat kebanyakan.

Buat golongan berpendapatan rendah, kerajaan sentiasa memberi bantuan kepada mereka. Penjimatan subsidi minyak akan disalurkan kepada mereka dengan peningkatan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Bagaimana pula dengan golongan pertengahan? Bantuan bagaimanakah yang dimahukan oleh mereka?

Sebelum bercakap mengenai bantuan berkenaan, lebih baik kerajaan mendefinasikan golongan pertengahan. Adakah yang berpendapatan RM10,000 sebulan dikategorikan berpendapatan sederhana? Atau setakat bergaji RM7,000 sahaja? Atau ada cara lain untuk mendefinasikannya?

Usah tersilap mendefinasikan golongan pertengahan kerana jika tersilap akan berlakunya ketidakadilan dalam memberi bantuan kepada mereka. Bentuk bantuan bagaimanakah yang diperlukan oleh mereka?

Saya ada membuat kajian secara rambang dengan golongan ini. Rata-rata terdapat tiga aspek paling penting yang perlu diutamakan oleh kerajaan untuk mengurangkan beban golongan pertengahan.

Pertama, perumahan mampu milik. Skim perumahan ini perlu diperluaskan ke seluruh Malaysia. Di samping itu, kerajaan perlu mengekang kenaikan harga rumah dengan menaikkan cukai keuntungan hartanah (CKHT). Dicadangkan CKHT 30 peratus dipanjangkan melebihi dua tahun, contohnya lima tahun.

Dengan cara ini, spekulator tidaklah mengaut keuntungan besar dalam tempoh jangka masa pendek. Harga rumah juga boleh distabilkan. Apabila harga rumah stabil, ramai rakyat Malaysia mampu membeli rumah.

Perlu diingat, kerancakan sektor hartanah akan menyebabkan ekonomi kita akan semakin baik. Tempias dan manfaatnya akan dirasai oleh sektor-sektor lain kerana pastinya pemilik baru rumah tersebut akan banyak berbelanja untuk membeli barang-barang keperluan rumah idamannya.

Selain CKHT, duti setem juga patut dikurangkan bersama-sama dengan penghapusan deposit membeli rumah. Ramai anak-anak muda tidak mampu menyediakan deposit membeli rumah. Bayangkan kalau rumah berharga RM400,000, jumlah depositnya adalah RM40,000!

Mana nak dapat duit sebanyak itu bagi golongan muda yang baru berkahwin dan baru sahaja bekerja? Selain itu, kurangkan faedah pinjaman perumahan bagi golongan yang pertama kali membeli rumah. Kerajaan boleh menetapkan kadar faedah tersebut pada kadar yang lebih rendah dengan kerjasama bank-bank tempatan. Ini juga banyak meringankan beban pembeli rumah.

Kedua, pengangkutan. Dicadangkan cukai jalan dihapuskan terutamanya bagi pembelian kereta nasional. Paling utama, kurangkan tol meskipun mustahil untuk menghapuskannya. Pengurangan tol akan memberi kebaikan kepada ramai pihak. Rakyat dan juga peniaga.

Peniaga juga tiada lagi alasan untuk menaikkan harga barangan. Ini kerana kos pengangkutan akan berkurangan semula apabila kadar tol dikurangkan. Peningkatan kos pengangkutan ekoran subsidi minyak dirasionalisasikan akan kembali berkurangan apabila kadar tol dikurangkan.

Ketiga, makanan. Cadangan kerajaan untuk menghapuskan orang tengah dan memperluaskan permit import barangan pertanian akan mengurangkan kos barangan pertanian yang akan dibeli oleh pengguna. Selain itu, berkeraslah dengan peniaga yang degil menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Selain ketiga-tiga aspek di atas, dicadangkan juga kerajaan mengurangkan cukai pendapatan golongan pertengahan dan meningkatkan pelepasan individu dan anak-anak.

Aspek-aspek lain seperti kos perubatan yang semakin tinggi juga tidak boleh sesekali diabaikan. Untuk menampung kekurangan pendapatan kerajaan, sudah sampai masanya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Ini bagi memperluaskan lagi pendapatan kerajaan tanpa hanya bergantung kepada hasil minyak negara semata-mata.

Walau apa pun pengumuman yang akan dibuat oleh kerajaan dalam Bajet 2014 nanti, biarlah ia berada dalam situasi menang-menang di antara kedudukan kewangan negara dan kepentingan membela nasib rakyat. Justeru, tindakan kerajaan merasionalisasikan subsidi minyak bukanlah untuk membebankan rakyat tetapi realitinya itulah keputusan terbaik demi rakyat dan negara.




© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment