GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, September 13, 2013

Masa terbaik laksanakan GST




NUR JAZLAN
12 September 2013
Nur Jazlan Mohamed

Adakah Bajet 2014 yang akan dibentangkan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan Oktober ini, menyaksikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Atau adakah kerajaan BN yang baru mendapat mandat rakyat dalam PRU13, Mei lalu, akan terus menangguhkan pelaksanaan GST ini, bagi terus memberi ruang kepada rakyat bersedia ke arah sistem cukai baru atau tunduk dengan segala putar belit pembangkang mengenai pelaksanaan sistem cukai baru ini.

Sebagai seorang akauntan bertauliah, saya sejak awal lagi menyokong penuh pelaksanaan GST ini, sejak ura-ura mengenai pelaksanaannya pada 2005. 

Sudah pasti kerajaan akan melaksanakan sistem cukai baru ini, mengikut acuan “Malaysia” dalam usaha memberikan pendapatan lebih kepada kerajaan serta memastikan kutipan cukai lebih adil terhadap semua golongan rakyat.

Walaupun GST ini, terbukti berkesan serta dilaksanakan di hampir semua negara di dunia, tetapi di Malaysia, ia terus dipolitikkan pembangkang yang berterusan ‘mencuci’ fikiran rakyat bahawa sistem cukai ini, akan membebankan mereka.

Hakikatnya, ahli-ahli politik daripada PR yang kononnya, mempunyai ramai golongan profesional mengetahui bahawa sistem cukai negara perlu distruktur semula. 

Ia berikutan peralihan ekonomi negara daripada berteraskan perindustrian kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan dan kepenggunaan.

Untuk pengetahuan umum, jika kerajaan memilih melaksanakan sistem GST ini, ia adalah satu tindakan berani memandangkan kebanyakan kerajaan negara lain yang melaksanakan sistem cukai ini, kalah dalam pilihan raya umum negara berkenaan.

Tetapi yang memelikkan saya pula ialah kerajaan baru yang dipilih daripada pembangkang tidak menghapuskan GST ini, dan membuktikan bahawa sistem cukai berkenaan mempunyai banyak kelebihan.

Sebenarnya, dalam memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, empat faktor utama yang menjadi penentu ialah penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih. 

Perbelanjaan kerajaan banyak bergantung kepada jumlah hasil cukai yang berjaya dikutip. Hasil cukai merupakan penyumbang utama kepada jumlah hasil kerajaan. Jika hasil cukai meningkat, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai projek untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Berdasarkan statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2010, nisbah hasil cukai kepada KDNK adalah 19.5 peratus dan jika dibandingkan dengan 34 negara maju, nisbah yang dicatat Malaysia adalah terlalu rendah kerana nisbah paling rendah di kalangan negara maju adalah sekitar 26 peratus.

Disebabkan nisbah hasil cukai yang rendah ini, kerajaan mengalami kekurangan hasil cukai bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan apabila jumlah hasil kerajaan tidak mencukupi, kedudukan kewangan kerajaan akan mengalami defisit.

Atas sebab itu, bagi menampung defisit ini, kerajaan perlu membuat pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan dalam jangka masa panjang ia tidak sihat terhadap pembangunan ekonomi negara.

Sebenarnya, sistem percukaian Malaysia mempunyai asas yang sempit kerana kebergantungan yang keterlaluan kepada cukai pendapatan (individu dan korporat).

Sekiranya keuntungan syarikat berkurangan, jumlah kutipan cukai pendapatan juga berkurangan dan keadaan ini memberikan tekanan kepada hasil kerajaan.

Situasi itu diburukkan lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang liat membayar cukai kerana daripada kira-kira 10 juta tenaga kerja di Malaysia yang seharusnya membayar cukai, hanya kira-kira 1.7 juta menjelaskan cukai pendapatan mereka.

Rakyat hanya menyedari cukai pendapatan yang dibayar terus kepada kerajaan tanpa disedari bahawa kita juga membayar cukai yang dimasukkan terus dalam harga barangan dan perkhidmatan seperti pembelian kereta, pakaian, makanan dan lain-lain barangan dan perkhidmatan yang melibatkan pengguna.

Pelaksanaan GST akan membolehkan kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan (individu dan korporat) dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing bagi menarik pelaburan asing. Kadar cukai korporat di Malaysia kini adalah 25%, iaitu lebih tinggi berbanding dengan Singapura, 17% dan Hong Kong, 16.5%.

Sebenarnya, dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, YAB Datuk Seri Najib Razak sudah memberikan gambaran bahawa kerajaan akan melaksanakan struktur percukaian baru dalam memastikan ekonomi negara terus berdaya saing.

Penstrukturan sistem cukai negara yang baru sudah tentu tidak hanya membabitkan pelaksanaan GST sebaliknya, sudah pasti kerajaan akan mengambil kira untuk menurunkan kadar cukai pendapatan terutama sekali cukai korporat yang dilihat amat tinggi serta tidak kompetitif berbanding dengan negara jiran.

Kita perlu sedar bahawa pelaksanaan GST tidak akan mengakibatkan kenaikan harga mendadak. Ia kerana GST akan menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan, saksama, efisien serta telus sekaligus mengelakkan berlaku cukai terselindung dan cukai bertindih.

Kaedah GST mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan kini. 

Pelaksanaan GST akan meningkatkan jumlah kutipan hasil Kerajaan dan seterusnya membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan. 

Pada masa ini, kebergantungan kepada sumber hasil berasaskan petroleum seperti cukai pendapatan petroleum, duti eksport, dividen dan lain-lain adalah tinggi iaitu kira-kira 40% daripada jumlah hasil Kerajaan.

Masalahnya, di Malaysia, persepsi lebih diterima daripada fakta, dan atas sebab itu, rakyat termakan dengan putar belit pembangkang bahawa kegagalan kerajaan menguruskan cukai yang dikutip daripada Petronas dengan telus serta berlaku banyak pembaziran dalam projek kerajaan, adalah sebab utama mengapa GST tidak boleh dilaksanakan.

Bagi pembangkang, jika duit daripada Petronas diurustadbir dengan baik, ia akan terus dapat menampung perbelanjaan kerajaan sedangkan pada hakikatnya, konsep itu sama sekali salah.

Kebergantungan terhadap Petronas sebenarnya, merupakan keadaan yang kurang sihat kerana Malaysia tidak boleh bergantung selamanya kepada sumber pendapatan berasaskan petroleum memandangkan bahan tersebut lama kelamaan akan susut.

Semua pakar ekonomi dan percukaian negara bersepakat bahawa GST adalah struktur cukai terbaik bagi terus membolehkan kerajaan membangunkan negara dengan lebih berkesan, dan walaupun banyak artikel atau ulasan positif diberikan terhadap sistem ini, ia tetap gagal mengubah persepsi rakyat bahawa GST akan membebankan mereka.

Melalui pelaksanaan GST ini, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dapat mengutip cukai dengan lebih efisien serta berkesan.

Ia disebabkan dalam pelaksanaan GST, terdapat satu sistem dinamakan ‘set off’ dimana setiap lapisan pengeluaran produk atau perkhidmatan yang dikenakan cukai akan ditolak semula oleh lapisan yang berikutnya.

Jadi, jika GST yang ditetapkan adalah 4 peratus, kadar cukai yang dibayar pengguna akhir iaitu rakyat adalah 4 peratus, bukan kadar cukai itu akan berganda atau bertambah seperti yang diputar belitkan pembangkang.

Tanggapan bahawa GST akan memberikan bebanan kepada pengguna juga tidak tepat memandangkan pengguna sudah dikenakan cukai SST antara 5 dan 10 peratus melainkan jika kadar GST lebih tinggi daripada cukai sedia ada.

Pada masa sekarang, rakyat tanpa mengira kelas pendapatan sebenarnya, membayar SST atas perbelanjaan harian mereka, namum cukai ini, terutama sekali cukai jualan tidak

kelihatan dalam invois atau resit kerana ia terlindung dalam harga barangan. Selain itu, kerajaan juga sudah pasti tidak mengenakan GST atau 0 peratus GST atas barang asasi seperti beras, gula, tepung, dan minyak masa serta perkhidmatan seperti elektrik, air, pendidikan dan kesihatan bagi melindungi kepentingan golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Pengenalan GST ini, juga sudah pasti akan menjadikan sistem cukai negara lebih telus, mampan dan tidak ruang untuk dimanupulasi sekaligus mengelakkan berlaku kenaikan harga barang secara mendadak.

Melaluinya semua lapisan barangan atau perkhidmatan berkenaan daripada mula ia dikeluarkan sehinggalah sampai kepada pengguna akan dikenakan cukai GST. Ia sekaligus dapat mengelak berlaku double taxation atau multiple tax pyramid.

Pelaksanaan GST ini juga membolehkan kerajaan mengesan barangan yang dijual atau diimport di Malaysia, sudah dijelaskan cukai atau tidak, memandangkan semua pengeluar, pemborong atau peniaga perlu berdaftar dengan kerajaan melalui penggunaan teknologi maklumat (IT) yang efektif.

Pada masa sama, agensi rating antarabangsa seperti Standard and Poor’s (S&P) serta Fitch akan memberikan rating positif kepada keadaan ekonomi negara sekaligus menarik pelabur antarabangsa melabur di Malaysia berikutan iklim ekonomi negara yang sihat melalui pengenalan GST.

Alasan yang menyatakan bahawa kerajaan akan sentiasa menaikkan kadar GST juga kurang tepat kerana berdasarkan pengalaman lalu, kadar cukai jualan yang diperkenalkan pada 1972 hanya dinaikkan sekali sahaja pada 1983. 

Kadar cukai perkhidmatan pula tidak pernah dinaikkan sejak ia diperkenalkan pada tahun 1975.

Bagaimanapun, kerajaan perlu mengakui bahawa sejak GST mula hendak dilaksanakan pada 2005, kempen atau pelan komunikasi untuk menerangkan sistem cukai ini, kurang dilaksanakan.

Ia menyebabkan GST ini, menjadi modal kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan sedangkan, jika sistem GST ini, diterang dengan lebih meluas melalui pelbagai kempen, seminar atau rancangan berbentuk perbincangan, sudah pasti rakyat menyedari kebaikan terhadap pelaksanaan GST ini.

Saya yakin bahawa rakyat akan dapat menerima pelaksanaan GST ini, dengan hati serta fikiran terbuka dan tidak mempunyai sangkaan buruk bahawa usaha ini, akan membebankan mereka.

Tambahan pula, tahun 2020 hanya tujuh tahun dari sekarang dan jika GST ini, masih gagal dilaksanakan, Malaysia boleh melupakan hasrat untuk diiktiraf sebagai sebuah negara maju.

Datuk Nur Jazlan

Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ahli Parlimen Pulai dan Akauntan Bertauliah

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

No comments:

Post a Comment