GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, September 10, 2013

GST dan kadar cukai


Publication: HM
Date of publication: Sep 10, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed

Adakah Bajet 2014 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan Oktober ini, akan menyaksikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)?

Atau adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang baru mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Mei lalu, terus menangguhkan pelaksanaan GST ini, bagi terus memberi ruang kepada rakyat bersedia ke arah sistem cukai baru atau tunduk dengan segala putar belit pembangkang mengenai pelaksanaan sistem cukai baru ini.

Sebagai seorang akauntan bertauliah, saya sejak awal lagi menyokong penuh pelaksanaan GST, sejak ura-ura mengenai pelaksanaannya pada 2005. Sudah pasti kerajaan akan melaksanakan sistem cukai baru ini, mengikut acuan Malaysia dalam usaha memberikan pendapatan lebih kepada kerajaan serta memastikan kutipan cukai lebih adil terhadap semua golongan rakyat.

Walaupun GST terbukti berkesan serta dilaksanakan di hampir semua negara di dunia, tetapi di Malaysia, ia terus dipolitikkan pembangkang yang berterusan 'mencuci' fikiran rakyat sistem cukai ini akan membebankan mereka.

Hakikatnya, ahli politik daripada pakatan pembangkang yang kononnya dianggotai ramai profesional mengetahui bahawa sistem cukai negara perlu distruktur semula. Ia berikutan peralihan ekonomi negara daripada berteraskan perindustrian kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan dan kepenggunaan.

Untuk pengetahuan umum, jika kerajaan memilih melaksanakan sistem GST, ia adalah satu tindakan berani memandangkan kebanyakan kerajaan negara lain yang melaksanakan sistem cukai ini, kalah pada pilihan raya umum negara masing-masing.

Empat faktor penentu

Sebenarnya, dalam memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, empat faktor utama yang menjadi penentu iaitu penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih.

Perbelanjaan kerajaan banyak bergantung kepada jumlah hasil cukai yang berjaya dikutip. Hasil cukai merupakan penyumbang utama kepada jumlah hasil kerajaan. Jika hasil cukai meningkat, kerajaan boleh melaksanakan pelbagai projek untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Berdasarkan statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2010, nisbah hasil cukai kepada KDNK ialah 19.5 peratus dan jika dibandingkan dengan 34 negara maju, nisbah yang dicatat Malaysia itu terlalu rendah kerana nisbah paling rendah di kalangan negara maju adalah sekitar 26 peratus.

Disebabkan nisbah hasil cukai yang rendah ini, kerajaan mengalami kekurangan hasil cukai bagi membiayai perbelanjaan pembangunan dan apabila jumlah hasil kerajaan tidak mencukupi, kedudukan kewangan kerajaan akan mengalami defisit.

Atas sebab itu, bagi menampung defisit ini, kerajaan perlu membuat pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan dalam jangka masa panjang ia tidak sihat terhadap pembangunan ekonomi negara.

Sebenarnya, sistem percukaian Malaysia mempunyai asas yang sempit kerana kebergantungan yang keterlaluan kepada cukai pendapatan (individu dan korporat). Sekiranya keuntungan syarikat berkurangan, jumlah kutipan cukai pendapatan juga berkurangan dan keadaan ini memberikan tekanan kepada hasil kerajaan.

Situasi itu diburukkan lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang liat membayar cukai kerana daripada kira-kira 10 juta orang tenaga kerja di Malaysia yang seharusnya membayar cukai, hanya kira-kira 1.7 juta menjelaskan cukai pendapatan mereka.

Rakyat hanya menyedari cukai pendapatan yang dibayar terus kepada kerajaan tanpa sedar kita juga membayar cukai yang dimasukkan terus dalam harga barangan dan perkhidmatan seperti pembelian kereta, pakaian, makanan dan barangan dan perkhidmatan lain yang melibatkan pengguna.

Pelaksanaan GST akan membolehkan kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan (individu dan korporat) dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing bagi menarik pelaburan asing. Kadar cukai korporat di Malaysia kini ialah 25 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding Singapura, 17 peratus dan Hong Kong 16.5 peratus.

Sebenarnya, pada pembentangan Bajet 2013 lalu, Perdana Menteri sudah memberikan gambaran bahawa kerajaan akan melaksanakan struktur percukaian baru dalam memastikan ekonomi negara terus berdaya saing.

Penstrukturan sistem cukai negara yang baru sudah tentu tidak hanya membabitkan pelaksanaan GSTsebaliknya, sudah pasti kerajaan akan mengambil kira untuk menurunkan kadar cukai pendapatan terutama sekali cukai korporat yang dilihat tinggi serta tidak kompetitif berbanding negara jiran.

Elak cukai bertindih

Kita perlu sedar bahawa pelaksanaan GST tidak akan mengakibatkan kenaikan harga mendadak. Ini kerana GST akan menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan, saksama, efisien serta telus sekali gus mengelakkan berlaku cukai terselindung dan cukai bertindih.

Kaedah GST mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan kini. Pelaksanaan GST akan meningkatkan jumlah kutipan hasil kerajaan dan seterusnya membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan.

Melalui pelaksanaan GST, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dapat mengutip cukai dengan lebih efisien dan berkesan.

Ini disebabkan dalam pelaksanaan GST, terdapat satu sistem dinamakan 'set off' di mana setiap lapisan pengeluaran produk atau perkhidmatan yang dikenakan cukai akan ditolak semula oleh lapisan yang berikutnya.

Jadi, jika GST yang ditetapkan adalah empat peratus, kadar cukai yang dibayar pengguna akhir iaitu rakyat adalah empat peratus, bukan kadar cukai itu akan berganda atau bertambah seperti yang diputarbelitkan pembangkang.

Tanggapan GST akan memberikan bebanan kepada pengguna juga tidak tepat memandangkan pengguna sudah dikenakan cukai SST antara lima hingga 10 peratus, melainkan jika kadar GST lebih tinggi daripada cukai sedia ada.

Selain itu, kerajaan sudah pasti tidak mengenakan GST atas barang asasi seperti beras, gula, tepung, dan minyak masak serta perkhidmatan seperti elektrik, air, pendidikan dan kesihatan bagi melindungi golongan berpendapatan rendah dan menengah.

Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ahli Parlimen Pulai dan Akauntan Bertauliah

No comments:

Post a Comment