Harian Metro
Apr 13, 2012, Page 055, Main Section
Oleh Helmy Abd Rahman
KERAJAAN sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan skim insurans pengangguran di negara ini bagi menyediakan jaringan keselamatan sosial lebih baik kepada golongan pekerja.
Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata, kajian itu dijangka akan dimuktamadkan tahun depan.
“Pada masa ini, masih banyak yang perlu dikaji dan kami menjangka akan memuktamadkan kajian mengenai skim ini tahun depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia: Kerjaya Moden di Kuala Lumpur, semalam.
Siri Pemantauan Ekonomi Malaysia menyediakan sudut pandangan analitikal berkaitan cabaran polisi yang muncul seiring perjalanan Malaysia menuju kelas ekonomi berpendapatan tinggi.
Hadir sama, Pengarah Bank Dunia Malaysia, Annette Dixon dan Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia Malaysia, Frederico Gil Sander.
Dalam perkembangan lain, Dr Rahamat berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya akan diperkenalkan apabila masyarakat faham mengenai keperluan pelaksanaannya.
“Kerajaan akan terus menyampaikan maklumat bagi memberi kesedaran kepada pengguna mengenai pentingnya mempelbagaikan jenis cukai. Malah, sudah lebih lima tahun kerajaan tidak memperkenalkan cukai baru.
“Bagaimanapun, belum ada tarikh khusus untuk melaksanakan GST. Masih banyak pertanyaan daripada orang ramai mengenainya,” katanya.
Sementara itu, Sander berkata, Malaysia dijangka akan mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah tahun ini iaitu 4.6 peratus berbanding 5.1 peratus tahun lalu sebelum kembali mencatat 5.1 peratus pada 2013 bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia.
No comments:
Post a Comment