GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, April 8, 2012

GST banyak beri manfaat kepada PKS


ARKIB : 07/04/2012

KUALA LUMPUR 6 April - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak perlu gusar mengenai pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) kerana ia mampu memberi banyak manfaat terutama di dalam pengurusan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim berkata, kebanyakan PKS tempatan tidak mempunyai pengurusan kewangan yang baik sekali gus menyukarkan mereka menjalankan perniagaan.

"Pengurusan kewangan sangat penting di dalam sesuatu perniagaan tetapi malangnya banyak PKS tempatan tidak menitik beratkan perkara ini.

"Diharapkan dengan pelaksanaan GST kewangan PKS akan diurus dengan lebih teratur dan boleh mengesan setiap aktiviti," katanya semasa sidang akhbar selepas Pelancaran Program E50 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi SME Corp., Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Tambah Hafsah, SME Corp memainkan peranan penting untuk memberi penerangan dan menyedarkan PKS-PKS mengenai GST.

"SME Corp. perlu memastikan kesemua PKS-PKS ini bersedia dan tidak mempunyai kekeliruan mengenai GST sebelum kerajaan melaksanakannya," ujar beliau lagi.

Tambah beliau, untuk itu juga SME Corp. bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam dan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai GST.

Hafsah juga menasihatkan PKS-PKS supaya tidak risau mengenai kos bagi pemasangan sistem yang bakal ditanggung sekiranya GST dilaksanakan.

"Anggap ia sebagai pelaburan kerana pulangannya berpanjangan. Ia bukan sesuatu yang sia-sia, malah apabila pelaksanaan GST mampu mengukuhkan pengurusan kewangan sesuatu syarikat, ia boleh dikatakan satu pelaburan yang sangat berbaloi, " tambahnya lagi.

Bercakap mengenai Program Enterprise 50, Hafsah berkata, acara tahunan itu bakal mengiktiraf 50 syarikat berpotensi tinggi di kalangan PKS tempatan.

Acara yang telah diadakan selama 16 tahun ini dianjurkan oleh SME Corp. dan Deloitte Malaysia dengan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Setakat ini, Enterprise 50 telah menarik 1,673 penyertaan namun sedikit perbezaan dilakukan pada tahun ini apabila penyertaan adalah berdasarkan jemputan eksklusif penganjur sahaja.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment