GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, April 8, 2012

`GST sebagai pelaburan masa depan syarikat'


Publication: BH
Date of publication: Apr 7, 2012
Section heading: Ekonomi
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Hazwan Faisal Mohamad


PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) perlu melihat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai sesuatu yang positif dengan ia dapat membantu mengembangkan perniagaan secara lebih meluas.

Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim, berkata, pelaksanaan GST seharusnya dianggap tidak membebankan kerana ia dapat membantu mendidik PKS menguruskan kewangan dengan lebih berkesan.

Katanya, kini kebanyakan PKS didapati tidak memiliki sistem pengurusan kewangan yang baik justeru menghalang mereka untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih jauh.

Pelaksanaan GST ini mungkin akan membabitkan sedikit kos tambahan kepada PKS apabila terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk membeli peralatan atau sistem baru.

Namun begitu, mereka perlu menganggap semua penambahan itu sebagai pelaburan masa depan untuk syarikat mereka, katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Anugerah Enterprise 50 (E50) 2012 di Kuala Lumpur semalam.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi SME Corp, Datuk Ir (Dr) Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Pengurus Bersama Negara Deloitte Malaysia, Tan Theng Hooi.

Hafsah berkata, PKS yang kini mewakili 99.2 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia perlu bersedia untuk berubah bagi menjamin kelangsungan syarikat mereka.

PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara dengan menjadi penyokong penting kepada syarikat korporat serta kerajaan, katanya.

Mengenai penganjuran E50 yang memasuki edisi ke-16 tahun ini, Hafsah berkata, terdapat perubahan pada program itu membabitkan penyertaan peserta.

Katanya, jika sebelum ini, PKS perlu mencalonkan diri mereka sendiri jika mahu menyertainya, bagaimanapun tahun ini format itu diubah dengan SME Corp yang akan menjemput peserta untuk menyertai program itu.

Penilaian akan dilakukan menerusi kaedah dipanggil 'SME Competitiveness Rating for Enhancement' atau SCORE yang akan diukur daripada kosong bintang hingga lima bintang dengan PKS yang mendapat penarafan empat bintang ke atas saja akan dipilih.

Sehingga kini, lebih 400 PKS sudah dipilih dengan kemudiannya hanya 50 akan disenarai pendek bagi merebut anugerah syarikat terbaik pada majlis yang akan berlangsung pada 9 November depan, katanya.

E50 adalah anugerah tahunan anjuran SME Corp dan Deloitte Malaysia dengan sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan ditaja oleh RHB Bank Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan Media Prima Bhd.

Business Times, iaitu sisipan perniagaan akhbar New Straits Times serta majalah Malaysia SME pula adalah rakan media anugerah itu.

No comments:

Post a Comment