GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, June 1, 2013

Kerajaan masih kaji implikasi GST


Publication: BH
Date of publication: May 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Haika Khazi Mohd Zaky Zainuddin

Cyberjaya: Kerajaan tidak akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dalam masa terdekat, kerana masih mengkaji implikasi pelaksanaan serta kadarnya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan tidak mahu terburu-buru dalam melaksanakan GST dan akan menilai semula kajian dibuat sebelum ini bagi memastikan rakyat tidak dibebani masalah baru.

Kita harus melihatnya secara menyeluruh bukan semata-mata kerana pendapatan kerajaan, sebaliknya perlu mengambil kira manfaat dan faedahnya kepada rakyat.

Kajian kita turut merangkumi pengurangan cukai korporat dan individu, selain membantu rakyat berpendapatan rendah, katanya selepas merasmikan Mesyuarat Serantau Institut Bank Simpanan Dunia (WBSI) Asia Pasific ke-19 di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan WSBI, Chris De Noose; Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning.

Mengenai kadar yang akan dikenakan jika GST dilaksanakan, beliau berkata: Kerajaan masih mengkaji kadar dan tarikh sesuai untuk melaksanakan GST, selain manfaatnya kepada kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.

Konsep nilai tambah

GST atau dikenali juga sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT) adalah cukai kepenggunaan berasaskan kepada konsep nilai ditambah kerana ia dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan, termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

Jika dilaksanakan, ia akan menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Perbezaan GST dengan sistem cukai penggunaan sedia ada ialah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu pada semua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan.

Ini berbanding sistem cukai penggunaan sedia ada yang mana cukai jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang dikeluarkan daripada kilang atau diimport, sementara cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu pada peringkat ia disediakan kepada pengguna.

Banyak negara, termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina di ASEAN sudah melaksanakan GSTkerana ia lebih komprehensif, efektif, telus, cekap dan mesra perniagaan, justeru mengatasi kelemahan dalam sistem cukai kepenggunaan, seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat.

Ahmad Husni berkata, pelaksanaan GST juga akan menyaksikan penurunan harga barangan dan perkhidmatan tertentu kerana kadar cukai yang dikenakan lebih rendah dan seragam.

Contohnya, ketika ini pengguna dikenakan cukai jualan 10 peratus bagi barangan tertentu, tetapi selepasGST dilaksanakan, kadarnya akan menjadi lebih rendah, katanya.

No comments:

Post a Comment