GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 11, 2014

Rasional perlaksanaan GST


Publication: BH
Date of publication: Mar 10, 2014
Section heading: 1Klassifieds
Page number: 020

Cukai telah menjadi elemen utama pendapatan negara ini untuk menampung segala keperluan ekonomi. Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST adalah model cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas penggunaan domestik serta barangan dan perkhidmatan import yang dibekalkan di Malaysia dan turut dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT) kerana cukai ini dikenakan ke atas nilai ditambah bagi barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan.

GST dikatakan bertujuan untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah lama dilaksanakan dalam negara kita. SST dikatakan mempunyai banyak kelemahan seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan hasil yang tiris akibat daripada pemindahan harga, penyeludupan dan sebagainya.

Dengan adanya GST, segala kelemahan ini akan dapat diatasi. GST merupakan sistem cukai yang adil dan menyeluruh yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia. Pada masa ini, Malaysia mengenakan cukai jualan dan cukai perkhidmatan secara berasingan dengan kadar kira-kira 16 peratus untuk produk dan perkhidmatan tertentu antaranya restoran dan hotel.

Lebih 160 negara di dunia telah melaksanakan GST dan kadar GST (6 peratus) di negara kita ialah yang terendah dalam kumpulan Negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pula mengenakan GST pada kadar 7 peratus.

GST pada hakikatnya merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik serta meningkatkan daya saing negara kepada pelaburan global di samping kurang terdedah kepada risiko turun naik ekonomi atau kebergantungan kepada sumber minyak dan gas yang mempunyai jangka hayat yang terhad.

Bagi komuniti perniagaan, GST tidak akan menjadi sebahagian daripada kos barang dijual. Ini bermakna, sebarang caj GST yang terdapat di dalam inbois jualan (GST Ouput) atau belian (GST Input) bukanlah perlu ditanggung oleh para peniaga. Layanan perakaunan ini tidak sama seperti sistem SST di mana SST adalah kos kepada perniagaan.

Justeru itu, dengan pemansuhan SST, kos jualan sesuatu perniagaan akan dapat dijimatkan. Ini seterusnya akan memberi nilai kepada pasaran, jika perniagaan tersebut menyalurkan kembali penjimatannya kepada rakyat.

Di dalam model GST Malaysia juga, terdapat satu mekanisma khas yang dirangka bagi menggalakkan industri pelancongan negara. Ianya dinamakan sebagai Skim Bayar Balik Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) yang berupa insentif pemulangan GST kepada pelancong yang berbelanja di Malaysia untuk barang-barang yang ingin dibawa pulang bersama mereka (mengikut terma-terma yang ditetapkan).

Skim TRS ini berpotensi untuk menarik minat pelancong asing yang mempunyai keupayaan berbelanja yang tinggi dan sekaligus melipat gandakan pulangan ekonomi kepada sektor-sektor yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan apabila GST dilaksanakan kelak. Impak GST terhadap ekonomi domestik sebenarnya sangat besar. GST mampu mengekang aktiviti mengelak cukai secara kolektif di samping merangsang kemasukkan pelabur dan pelancong asing ke Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kesan berganda (multiply effects) yang positif kepada ekonomi negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, banyak peluang perkerjaan akan terhasil daripada peningkatan jumlah pelaburan yang masuk ke dalam Malaysia kerana rangsangan kadar cukai pendapatan syarikat yang rendah.

Seterusnya, rakyat akan memperoleh manfaat dalam bentuk nilai wang serta peningkatan taraf hidup yang lebih selesa melalui pelbagai bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan seperti penyediaan infrastruktur kemasyarakatan yang lengkap.

Apa yang lebih penting adalah janji Kerajaan untuk berkongsi kekayaan negara untuk kebajikan segenap lapisan rakyat seperti pemberian bantuan kewangan, perkhidmatan kesihatan, subsidi pendidikan dan perumahan serta lain-lain lagi.

Ternyata GST merupakan satu langkah rasional yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memajukan negara kita dan seharusnya kita yakin akan kebolehan kerajaan dalam menentukan nasib kita demi mengecapi Wawasan 2020 seperti yang diimpikan oleh rakyat Malaysia.

- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments:

Post a Comment