GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 11, 2014

`Kita semakin hampir'


Publication: HM
Date of publication: Mar 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 016
Byline / Author: Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia berada pada jalan yang betul menuju status negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, seperti mana-mana perjalanan mungkin terdapat beberapa halangan dan penyesuaian perlu dilakukan bagi mengelakkan rintangan berkenaan, namun destinasinya kekal.

Dalam konteks ekonomi negara kata beliau, peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar dapat membantu Malaysia kekal pada kedudukan untuk mencapai status negara maju.

"Destinasi kita tidak berubah. Kita semakin hampir merealisasikan status negara maju. Jika kita ada komitmen bersama-sama untuk membangunkan ekonomi yang kukuh untuk Malaysia, ganjarannya hebat.

"Dengan kewangan terkawal, kita melabur untuk masa depan - keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Dialog Ekonomi Kebangsaan anjuran bersama BERNAMA dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan mengurangkan subsidi dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Untuk tahun ini katanya, kerajaan akan membelanjakan lebih RM40 bilion untuk subsidi makanan, bahan api dan pendidikan serta sokongan untuk isi rumah berpendapatan rendah berbanding RM44 bilion pada 2012.

Namun kata beliau, kerajaan perlu bertindak untuk menjamin keselamatan masa depan, kebebasan dan pertumbuhan negara.

Beliau mengaku terpaksa berfikir panjang dan mendalam mengenai risiko serta kesan yang mungkin menimpa rakyat berkaitan keputusan tidak popular itu.

"Saya tidak memandang ringan ketika mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi atau memperkenalkan GST. Namun saya memutuskan bahawa kerajaan perlu bertindak untuk menjamin keselamatan masa depan, kebebasan dan pertumbuhan negara," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan subsidi disambut baik oleh pelabur dan agensi penarafan selain berjaya menurunkan defisit bajet pada 3.9 peratus, lebih rendah daripada yang disasarkan.

"Kita dalam perjalanan ke arah bajet seimbang pada 2020 dan walau apa pun yang diperkatakan oleh penganalisis politik, ekonomi Malaysia terus berkembang," katanya.

Katanya, Kabinet meluluskan pembaharuan subsidi hasil perbincangan mendalam antara Perbendaharaan, Bank Negara dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Katanya lagi, kepimpinan adalah untuk membuat apa yang betul bukan apa yang mudah serta boleh menjejaskan pembangunan jika tersilap.

"Saya bersedia meletakkan kepentingan jangka panjang negara mengatasi populariti jangka pendek saya. Saya yakin pembaharuan ini akan berjaya, rekod ekonomi kita membuktikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment