GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 11, 2014

MAS wajar tinjau penggabungan terus operasi


Publication: BH
Date of publication: Mar 8, 2014
Section heading: Bisnes
Page number: 001

Penerbangan Malaysia (MAS) perlu menimbang untuk bergabung dengan syarikat penerbangan antarabangsa lain bagi meneruskan kesinambungan operasi pada masa depan, kata bekas pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Majid.

"MAS ialah sebuah syarikat bersaiz sederhana dalam industri penerbangan global yang menjadi semakin berdaya saing.

"Justeru, ia sewajarnya meninjau kepada penggabungan dalam menuju ke hadapan," katanya menjawab soalan peserta sesi perbincangan panel sempena Sidang Kemuncak dan Dialog Ekonomi Kebangsaan Bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur, semalam.

Enggan dedah nama

Munir, yang kini Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI) berkata, tiga syarikat penerbangan berpotensi menjadi rakan perkongsian MAS sudah dikenal pasti bagi cadangan penggabungan berkenaan, namun beliau enggan mendedahkan namanya.

Mengulas lanjut, katanya, syarikat bersaiz sederhana biasanya enggan bergabung dengan syarikat bersaiz lebih besar kerana bimbang akan kehilangan kawalan ekuiti utama.

"Bagaimanapun, itulah keadaan yang perlu dihadapi syarikat sedemikian. Apabila syarikat penerbangan kecil bergabung dengan syarikat penerbangan lebih besar, mereka hanya akan memperoleh 35 peratus daripada keseluruhan syarikat.

"Mereka perlu menerimanya kerana itulah apa yang diperlukan dalam proses penggabungan," katanya.

Rasionalisasi subsidi

Mengenai isu kewangan, Munir yang juga tokoh ekonomi disegani berkata, keutamaan kerajaan untuk meletakkan kestabilan fiskal dalam landasan betul, akan membuahkan hasil menerusi langkah rasionalisasi subsidi serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun depan.

Beliau berkata, negara ekonomi sedang berkembang seperti Brazil, Russia, India dan Mexico sepatutnya sudah menjadi kuasa ekonomi dunia ketika ini, namun kegagalannya menangani isu kewangan merencatkan perkembangan itu.

No comments:

Post a Comment