GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, March 24, 2014

Rakyat Diyakini Terima Baik Perlaksanaan GST


March 22, 2014 

PARIT – Rakyat keseluruhannya diyakini menerima baik pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas pelbagai program penerangan mengenai keperluan sistem itu diadakan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Beliau berkata setakat ini kerajaan mendapati rakyat memberi reaksi cukup baik kerana penerangan mengenai GST pada kadar 6 peratus berbanding cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus ketika ini, disampaikan dalam cara yang mudah difahami.

“Kita ada masa lebih kurang setahun lagi sebelum ia (GST) dilaksanakan pada April 2015. Dengan rancangan yang telah kita atur sama ada di dalam dan luar bandar untuk menjelaskan keperluan GST, saya jangka apabila tiba tempoh pelaksanaannya, insyaAllah perkara (kefahaman rakyat) ini dapat kita selesaikan,” katanya kepada pemberita pada program Karnival Ke Desa dan Kembara Jalinan Kasih di Bota Kiri di sini hari ini.

Ibrahim berkata Jabatan Penerangan merupakan agensi dipertanggunjawab menyalurkan maklumat kerajaan, dis amping itu pegawai penerangan di seluruh negara dilatih supaya dapat memberi penjelasan terperinci mengenai GST kepada rakyat.

“Kita menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang dikenakan GST secara terperinci semasa memberi penjelasan kepada masyarakat luar bandar agar mereka mudah memahami sistem tersebut.

“Barangkali mereka sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa 160 negara telah pun melaksanakan GST dan kesemua negara ini telah maju ke hadapan. Jadi sudah sampai masanya Malaysia juga melaksanakan sistem percukaian yang lebih baik lagi bagi memastikan kesejahteraaan negara dapat kita lalui bersama,” katanya.

Ibrahim berkata peniaga juga digalakkan mengambil bahagian dalam program penerangan itu agar mereka dapat melaksanakan GST dengan lebih baik.

Mengenai karnival selama dua hari itu, beliau berkata ia diadakan bagi merapatkan hubungan kakitangan jabatan dengan masyarakat luar bandar.

Antara aktiviti dijalankan adalah bacaan yasin, berzikir dan solat hajat selain mengunjungi rumah penduduk yang tinggal dalam serba kekurangan, katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan dua buah van termasuk sebuah van jenazah untuk kegunaan qariah Masjid Ar Rahman Ekor Bota, Bota Kiri. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment