GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, March 25, 2014

GST: 255 produk masih dikaji



KUALA LUMPUR 24 Mac - Kerajaan masih menjalankan kajian secara terperinci terhadap 255 produk yang mungkin dimasukkan atau dikecualikan dalam pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, setakat ini sebanyak 689 produk telah diputuskan untuk dimasukkan ke dalam pelaksanaan GST selain beberapa produk antaranya beras, tepung, ayam dan ikan yang dikecualikan daripada cukai terbabit.

''Selain itu, terdapat 273 produk yang dahulunya dikenakan 10 peratus cukai, kini dengan GST hanya enam peratus (cukai). Sebanyak 255 produk lagi masih dalam kajian, sejauh mana dilaksanakan atau tidak," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pelaksanaan GST akan bermula pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

Ahmad Husni memberitahu, dari segi kadar, setakat ini hanya lima negara yang mengenakan kadar lima peratus manakala tiga negara dengan kadar tujuh peratus dan selebihnya 10 peratus.

"Negara yang melaksanakan GST pada 2011 dan ke atas, semuanya mengenakan kadar 16 peratus, Gambia dengan 40 peratus. Singapura pula melaksanakan GST pada 1993 dan itu merupakan cukai baharu, bukannya menggantikan cukai sedia ada.

''Sesi penerangan mengenai GST akan kita lakukan dari semasa ke semasa agar apabila dilaksanakan nanti, rakyat sudah memahaminya," tambahnya.

Menurutnya, pelaksanaan GST bukannya dilakukan secara 'main-main' tetapi melibatkan penilaian mendalam sehingga menjangkaui sektor perumahan dan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, beliau ketika menjawab isu kerugian syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang dibangkitkan oleh beberapa wakil rakyat berkata, industri penerbangan merupakan industri mencabar dengan kenaikan harga bahan bakar mampu 'merencatkan' keuntungan sesebuah syarikat.

''Bukan sahaja MAS, beberapa syarikat penerbangan seperti Thai Airways dan Korean Air juga mengalami kerugian beberapa tahun lalu. Sekarang MAS ada pajakan kapal terbang dan ini jenis lama.

''Apa yang dilakukan MAS ialah syarikat itu sedang dalam proses menggantikan kepada pesawat baharu yang mampu mengurangkan kos minyak. Saya yakin kewangan mereka akan lebih baik pada masa depan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment