GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, February 12, 2014

RBS unjur ekonomi kukuh paras 4.6 peratus


Publication: HM
Date of publication: Feb 12, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 043

Kuala Lumpur: Royal Bank of Scotland (RBS) mengunjurkan ekonomi Malaysia terus kukuh di paras 4.6 peratus tahun ini berbanding 4.5 peratus pada 2013 dipacu oleh kekuatan eksport negara dan penggunaan domestik.

Unjuran ini juga diletakkan berikutan kerajaan menjalankan kaedah penstrukturan kedudukan fiskal negara menerusi pelbagai usaha antaranya rasionalisasi kadar subsidi, memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) bermula 2015 dan mengurangkan pelbagai projek infrastruktur negara.

Pengarah dan Ketua Penyelidikan Ekonomi Urusan bagi Asia kecuali Jepun RBS, Sanjay Mathur berkata, dengan pelaksanaan penstrukturan itu juga dapat membantu Malaysia untuk mencapai pengurangan defisit menjelang 2015.

Beliau berkata, dalam masa sama kadar inflasi meningkat tetapi ia bersifat sementara berikutan rasionalisasi kadar subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memantapkan kedudukan kewangan negara.

"Walaupun ekonomi Malaysia secara keseluruhannya positif tetapi perlu berhati-hati dalam beberapa perkara terutama kadar hutang isi rumah mencapai 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan juga beban khidmat hutang sekitar 40 peratus pendapatan boleh guna.

"Namun, sektor isi rumah kukuh dan penggunaan awam masih berterusan yang memberi kesan positif kepada ekonomi berikutan kadar pengangguran serta penetapan gaji minimum bermula pada 1 Januari lalu," katanya pada taklimat tinjauan ekonomi Malaysia dan Asia di sini, semalam.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga seiring dengan ekonomi di rantau Asia tidak termasuk Jepun dijangka berkembang sebanyak 6.5 peratus tahun ini berbanding anggaran enam peratus pada 2013.

Mathur berkata pertumbuhan sederhana itu disebabkan oleh perkembangan permintaan berterusan di luar dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah serta peningkatan ekonomi China.

No comments:

Post a Comment