GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, September 19, 2013

Walaupun minyak naik, syukur M'sia masih aman


Harakahdaily, 
03 Sep 2013 

KUALA LUMPUR: Jika kenaikan petrol dan diesel dianggap hadiah 100 hari kemenangan BN kepada rakyat, sebenarnya banyak lagi ‘hadiah-hadiah’ dalam bentuk penambahan cukai, kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup akan dilaksanakan oleh Najib dari semasa ke semasa. 

Bagi penulis blog Shahbudin Husin, kenaikan minyak adalah permulaannya dan lepas ini akan disusuli dengan tarif elektrik dan cukai GST pula.

“Lepas itu cukai dan kenaikan yang entah apa-apa pula akan diumumkan. Mungkin juga harga minyak akan naik lagi,” tulisnya.

Bagaimanapun di sebalik semua kenaikan ini, masih lagi ada sesetengah rakyat yang berkata, syukurlah Malaysia masih aman! 

--------------------------------------------------------------------------------------

Awas!! Selepas Minyak, Banyak Lagi Kenaikan Sedang Menunggu

Kerajaan mulai malam tadi menaikkan harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen. Dengan kenaikan itu, harga semasanya menjadi RM2.10 sen dan RM2.00 seliter bagi diesel. Langkah kenaikan yang disifatkan Najib untuk pengukuhan ekonomi itu juga menyebabkan subsidi kerajaan keatas petrol kini menurun kepada 63 sen manakala untuk diesel menjadi 80 sen sahaja.

Kenaikan ini jelas tidak menggembirakan rakyat. Di alam maya, Najib menerima kritikan, cemuhan dan serangan yang berterusan sepanjang malam tadi. Bukan saja rakyat biasa yang rasa terbeban dengan kenaikan itu meluahkan perasaan dan kemarahan mereka, malahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan ahli akademik, Dr Mazleee Malik juga turut aktif di twitter masing-masing dengan pelbagai maklumat yang berupa kritikan dan sindiran mengenai kenaikan itu.

Ahli-ahli politik pembangkang pula tentulah menggunakan peluang ini untuk menghentam dan mengkritik kerajaan semahu-mahunya, apalagi kenaikan petrol dan diesel ini umpama hadiah daripada Najib kepada rakyat sempena 100 hari kemenangan BN.

Buat pertama kali juga, pemimpin UMNO menjadi kurang aktif sama ada si facebook ataupun twitter. Selalunya jika timbul isu-isu sebegini, para pemimpin UMNO yang aktif di dunia sosial turut memainkan peranan mempertahankan apa yang dilakukan kerajaan, tetapi malam tadi ramai yang berdiam diri dan tidur awal agaknya. Mungkin mereka juga sudah tiada idea lagi untuk mempertahankan tindakan Najib itu.

Pengendali laman sosial yang pro UMNO dan kerajaan juga kelihatan pasif dan tidak tidak berdaya lagi mempertahankan langkah tidak bijak Najib itu.

Hanya Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Pengerusi Felcra yang cuba mempertahankan dan menyokong kenaikan minyak ini tetapi beliau juga kemudiannya dikritik dan diserang hebat, termasuk mengaitkan dengan perkahwinan keduanya bersama aktres Zizie Ezzette.

Di alam nyata pula, kenaikan ini disambut dengan rungutan dan cebikan mulut daripada rakyat terhadap Najib dan BN. Mulai petang semalam, jalan mulai sesak kerana orangramai berebut-rebut keluar awal bagi mengisi minyak di stesen-stesen minyak sebelum harga baru bermula pukul 12.01 malam.

Ditambah dengan hujan yang turun sejak awal petang, kesesakan bukan saja berlaku di jalan-jalan raya, malahan juga di hampir semua stesen minyak. Ini jelas menggambarkan kenaikan 20 sen tetap memberi kesan kepada kebayakan rakyat dan mereka berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan masing-masing sedaya yang mungkin.

Dilaporkan juga terdapat kejadian merosakkan stesen minyak berikutan rakyat menjadi marah selepas beratur lama untuk mengisi minyak, tiba-tiba diberitahu bekalannya sudah habis. Ini menggambarkan bukan saja kenaikan itu dibantah, malahan masa pengumuman mengenai kenaikan itu juga memperlihatkan sikap tidak bijak Najib sehingga mencetuskan suasana kelam-kabut dan panik di kalangan sesetengah rakyat.

Kenaikan minyak kali ini tidak disebut Najib sebagai kesan kenaikan minyak dunia tetapi lebih ke arah pengukuhan ekonomi dan mengurangkan defisit. Najib lantas memberitahu kenaikan harga minyak ini akan diseimbangkan dengan kenaikan BR1M yang akan diumumkan dalam Belanjawan pada Oktober nanti.

Terlihat di sini bahawa Najib mengambil pendekatan ekonomi "tutup lubang, gali lubang" untuk menyelesaikan masalah. Dengan subsidi petrol dan diesel yang dapat dijimatkan, ia kemudian akan disalurkan pula melalui BR1M. Walaupun pemberian tunai BR1M ini mendapat kritikan daripada Mahathir tetapi nampaknya Najib akan terus menggunakan pendekatan itu untuk mengambil hati orang-orang kampung dan rakyat berpendapatan rendah, malah sudah membayangkan akan menaikkan lagi jumlahnya. Kali ini mungkin menjadi RM700, RM 1000 ataupun mungkin juga menjadi RM1200.

Kesan kenaikan petrol dan diesel ini tentu saja akan menyebabkan kenaikan harga-harga barang di pasaran. Walaupun Najib mengingatkan peniaga tidak menaikkan harga barang, tiada jaminan kawalan ataupun penguatkuasaan akan diambil terhadap peniaga yang ingkar. Ia hanyalah sekadar peringatan semata-mata.

Ini bermakna belum pun BR1M dilaksnakan, beban kenaikan harga barang sudah menyusah dan mengeringkan lagi poket rakyat. Bagi yang tinggal di Lembah Kelang dan bandar-bandar lain dan tidak layak pula menerima BR1M, kenaikan harga minyak dan disertai dengan kenaikan harga barang keperluan harian umpama "pontianak" yang menghisap poket mereka sehingga kering setiap hari.

Kenaikan harga minyak ini juga berlaku dicelah-celah ura-ura kerajaan mahu menaikkan tarif elektrik dan melaksanakan cukai GST yang mungkin akan diumumkan dalam Belanjawan nanti. Walaupun propa kerajaan melalui Mahahdir Khalid mengatakan kenaikan elektrik dijamin tidak membebankan rakyat, sebenarnya asal saja namanya kenaikan, ia tetap memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Kerajaan juga bertegas mahu melaksanakan GST. Idris Jala yang merangka mengenainya sudah pun membayangkan hakikat itu. Masalahnya hanyalah berapa peratus saja, mungkin 5 peratus, mungkin 4 peratus dan sebagainya. Namun ia pasti akan dilaksanakan oleh Najib. Tunggu saja berita "gembira" ini dalam Belanjawan nanti.

Jika kenaikan petrol dan diesel dianggap hadiah 100 hari kemenangan BN kepada rakyat, sebenarnya banyak lagi hadiah-hadiah dalam bentuk penambahan cukai, kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup akan dilaksanakan oleh Najib dari semasa ke semasa. Kenaikan minyak adalah permulaannya dan lepas ini akan disusuli dengan tarif elektrik dan cukai GST pula.

Lepas itu cukai dan kenaikan yang entah apa-apa pula akan diumumkan. Mungkin juga harga minyak akan naik lagi.

Bagaimanapun di sebalik semua kenaikan ini, masih lagi ada sesetengah rakyat yang berkata, syukurlah Malaysia masih aman! (SH 03/09/2013)

No comments:

Post a Comment