GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 20, 2009

Lebih banyak wang di tangan


ARKIB : 19/10/2009


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bajet 2010 yang bakal diumumkan Jumaat ini, dijangka menyaksikan had jumlah pendapatan individu yang patut dikenakan cukai dinaikkan lagi.

Keadaan ini bermakna kutipan cukai kerajaan akan berkurangan tetapi jumlah wang yang boleh dibelanjakan oleh rakyat Malaysia bertambah, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah itu dipercayai diambil kerajaan dalam pembentangan sulung Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana golongan berpendapatan sederhana sebelum ini dipinggirkan dalam aspek bantuan dan inisiatif berbanding golongan miskin, kata para penganalisis tempatan.

Pengarah Eksekutif Urus Niaga Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazzary Rosli berkata, peningkatan had cukai individu bakal menjadi hadiah kerajaan kepada rakyat kerana ia melibatkan bilangan yang ramai.

Pada masa kini jumlah cukai pendapatan individu ialah sebanyak 12 peratus untuk pendapatan yang dikenakan cukai melebihi RM35,000 hingga RM50,000.

‘‘Langkah ini tidak mustahil untuk dilakukan oleh kerajaan memandangkan sejak Malaysia diterajui oleh Najib, beliau amat bersungguh-sungguh menangani masalah rakyat.

‘‘Bajet 2010 nanti merupakan peluang kepada kerajaan untuk merealisasikan hasrat tersebut dan jika langkah itu benar-benar dilakukan, ia bakal mengubah struktur kehidupan rakyat Malaysia ke arah lebih baik,’’ katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, peningkatan jumlah had cukai pendapatan akan memberi lebihan pendapatan kepada golongan terbabit, sekali gus memberi faedah kepada negara melalui kitaran ekonomi.

Beliau berkata, sudah sampai masanya langkah ini diambil memandangkan kehidupan golongan pertengahan di bandar semakin terhimpit akibat peningkatan harga barangan.

‘‘Di Kuala Lumpur misalnya apalah yang boleh dibuat dengan gaji RM3,000. Kita mungkin tidak ada masalah untuk membeli pakaian atau barangan rumah sebab murah dan pelbagai pilihan jenama.

‘‘Masalah utama kita adalah harga makanan yang melambung tinggi sedangkan ia merupakan keperluan hidup.

‘‘Jadi sekiranya kerajaan mengambil pendekatan ini, saya percaya kehidupan rakyat Malaysia akan lebih baik,’’ tambahnya.

Beliau berkata, bagi mengimbangi penurunan pendapatan, kerajaan perlu meningkatkan nilai tambah cukai kepada golongan berpendapatan tinggi, sejajar dengan prinsip percukaian progresif.

Di bawah prinsip itu, golongan kaya atau mewah perlu membayar cukai yang lebih besar berbanding golongan miskin.

Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan untuk menghapuskan bayaran perkhidmatan yang membabitkan jumlah kecil terutama bagi mendapatkan rawatan di hospital miliknya.

‘‘Golongan miskin masih dikenakan bayaran RM1 untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan tidak salah jika bayaran kecil ini dihapuskan terus,’’ kata beliau.


Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem juga berkata, kerajaan wajar menurunkan cukai pendapatan individu kepada satu atau dua peratus lagi.

Penurunan berkenaan tidak akan menjejaskan hasil kerajaan pada Bajet 2010 kerana jangkaan ekonomi lebih baik pada tahun depan.

‘‘Saya berpendapat sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengimbangi peningkatan jumlah had cukai individu.

‘‘GST tidak akan menjejaskan rakyat Malaysia kerana cukai bagi GST tertakluk kepada perbelanjaan, lagi banyak berbelanja, besarlah cukainya,’’ tambahnya.

Sementara itu, pakar ekonomi kanan AmInvestment Bank Bhd., Manokaran Mottain pula mempunyai pendapat yang berbeza selepas mengambil kira kerajaan telah melaksanakan mini bajet bagi merangsang ekonomi negara akibat krisis ekonomi global.

Beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana bakal mendapat banyak faedah pada Bajet 2010 terutama dalam penurunan cukai, insentif dan inisiatif.

Malah, beliau menjangkakan kerajaan bakal menstruktur semula subsidi termasuk meluaskan penerimaan kepada golongan sasaran.

‘‘Kerajaan telah mengumumkan mengenai subsidi beras dan mungkin akan meluaskan faedah itu bagi subsidi minyak pula,’’ ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1019&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2WRPmNjRO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment