GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 20, 2009

GST: Tidak perlu bimbang hilang populariti


ARKIB : 19/10/2009


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kerajaan tidak perlu bimbang akan kehilangan populariti sekiranya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat Malaysia.

Sebaliknya, pertimbangan pelaksanaan GST sewajarnya dilakukan atas dasar memastikan kestabilan ekonomi negara untuk jangka panjang.

Para penganalisis ekonomi menyifatkan, kestabilan ekonomi dan populariti politik adalah dua aspek yang berbeza dan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaan cukai tersebut.

GST adalah cukai yang dikenakan terhadap bekalan kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara dan bagi barang import.

Presiden Institut Akauntan, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, Malaysia perlu memperkenalkan GST bagi memastikan kebergantungan kepada petroleum dikurangkan melalui asas cukai yang lebih luas.

''GST merupakan pilihan terbaik yang boleh dipertimbangkan.

''Lagipun dengan melaksanakan GST, ia dapat mempelbagai asas pendapatan terutama dalam menampan impak krisis ekonomi global yang masih belum ada penghujungnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau tidak menolak, pelaksanaan GST memang sukar diterima tetapi apabila ekonomi menjadi lebih stabil, rakyat mungkin berupaya menyerap kesannya.

Beliau yakin pelaksanaan GST tidak akan menerima bantahan kerana ia tidak membabitkan golongan miskin.
''Golongan miskin tidak membeli atau mendapatkan perkhidmatan yang bernilai tinggi, jadi apa masalahnya kalau GST dilaksanakan?,'' katanya.

Sementara itu, tokoh ekonomi tempatan, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, secara prinsip GST diperkenalkan untuk membantu kerajaan menyeimbangkan kos yang perlu dibayar oleh golongan berpendapatan rendah.


Beliau tidak menolak pelaksanaan GST sedikit sebanyak menyebabkan kerajaan kurang popular tetapi hanya jangka pendek memandangkan usaha pengukuhan dan kestabilan ekonomi jangka panjang adalah lebih penting.

''Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa lebih 45 peratus pendapatan negara kini amat bergantung kepada Petronas. Tetapi tahukah kita sampai bila Petronas mampu terus memberi sumbangan sebesar itu.

''Sudah sampai masanya GST diperkenalkan supaya sebahagian kecil beban itu disalurkan kepada pihak lain,'' tambah beliau

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah wajar GST dilaksanakan apabila ekonomi kembali pulih dalam tempoh setahun lagi.

Berikutan itu, Ramon mengusulkan agar cadangan pelaksanaan GST dibentangkan pada Bajet 2010 bagi memastikan golongan sasaran bersedia sepenuhnya.

Ketua Penyelidik Inter Pacific Research, Anthony Dass dalam nota penyelidikannya turut mengakui pelaksanaan GST yang menyeluruh akan meringankan beban cukai pada jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya, sebelum melaksanakan GST secara menyeluruh kerajaan perlu mengubah sistem pencukaian semasa.

Beliau berpendapat, kerajaan perlu bersedia mengurangkan perolehan pada tahun permulaan pelaksanaan GST memandangkan cukai yang dikutip akan lebih rendah berbanding penurunan perolehan daripada pakej perubahan cukai.

Selain itu, kerajaan juga perlu menurunkan cukai korporat semasa di Malaysia, yang berada pada 25 peratus untuk kekal lebih kompetitif dan menarik kepada pelabur asing.

''Memang diakui bahawa GST yang menyeluruh apabila dilaksanakan kelak akan meringankan beban cukai.

''Tetapi, sekiranya GST hendak dilaksanakan, kerajaan juga berkemampuan dan bersedia untuk melaksanakannya secara menyeluruh dengan tidak tunduk kepada tekanan untuk beberapa pengecualian atau kadar yang boleh merumitkan sistem cukai,'' ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1019&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRP6hbFf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment