GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, December 10, 2009

GST untuk kebaikan semua


ARKIB : 09/12/2009


BAYARAN makanan termasuk cukai perkhidmatan yang dikenakan di restoran mungkin dapat dikurangkan melalui pengenalan GST.


JIKA mengikut perancangan awal kerajaan, cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sepatutnya sudah dilaksanakan dua tahun lalu iaitu pada 2007. Bagaimanapun, pelaksanaannya yang diperkenalkan pada 2005 ditangguhkan kerana dilihat agak tergesa-gesa selain negara memerlukan sebuah penstrukturan semula cukai yang lebih sistematik.

Selepas empat tahun, kajian mekanisme GST menerusi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ketika ini sudah berada pada fasa terakhir dan akan dibentangkan pada akhir sidang Dewan Rakyat. Pelaksanaannya pula dijangka pada 2011.

Tidak dinafikan, pelaksanaan GST memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat.

Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan.

Ia juga dapat mengurangkan beban pembayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.

Itu antara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat di negara yang sudah lama melaksanakan GST seperti di New Zealand, Australia dan Singapura.

Di rantau Asia Tenggara ini pula, hampir seluruh negara sudah melaksanakan sistem cukai itu melainkan tiga buah negara sahaja iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar.

Namun kita perlu realistik dalam membuat perbandingan kerana tidak semua pelaksanaan GST memberi kelebihan kepada negara-negara tertentu.

Di Kanada misalnya, kerajaan Parti Progresif Konservatif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney tumbang pada 1993 apabila memperkenalkan GST pada 1989. Hong Kong juga ketika ini dikatakan sedang mengkaji semula pelaksanaan GST.

Ini secara tidak langsung menunjukkan pelaksanaan GST bukan mudah untuk diterima lebih-lebih lagi di kalangan rakyat.

Terdapat beberapa perkara daripada pelaksanaannya yang jika tidak diperhalusi boleh membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang agak perlahan ketika ini serta kos kehidupan yang agak tinggi, pelaksanaan GST mungkin dilihat tidak kena pada masanya.

Dalam sistem percukaian yang digunakan ketika ini misalnya, golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas pelaksanaan GST, mereka bakal dikenakan cukai secara tidak langsung yang dipindahkan kepada perkhidmatan dan barangan.

Bagi rakyat berpendapatan rendah, hakikat itu mungkin satu bebanan berbanding dengan golongan kaya yang mendapat kelebihan kerana tidak lagi perlu membayar cukai yang tinggi serta beberapa cukai yang dikecualikan.

Rakyat juga bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melambung tinggi. Ini sememangnya berlaku di negara-negara yang mula melaksanakan dasar tersebut.
Gambaran-gambaran sebeginilah yang berlegar-legar di kalangan rakyat kebanyakan menyebabkan ramai yang masih belum faham mengenai GST. Lebih malang, ia dimanipulasi pula oleh sesetengah pihak untuk menghentam kerajaan meskipun mereka mengetahui pelaksanaannya mampu memberi kelebihan kepada semua pihak.


Hakikatnya, GST mengecualikan beberapa perkhidmatan dan barangan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk disediakan kepada rakyat kebanyakan, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin.
Antaranya yang dijangkakan bebas GST ialah makanan, pendidikan, kesihatan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kebajikan dan keagamaan. Perlu juga untuk difahami bahawa cukai GST adalah cukai yang dikenakan ke atas pengguna dengan asas yang lebih meluas. Bukannya cukai perniagaan yang membolehkan kumpulan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.

Dalam situasi ini, peranan peniaga hanyalah sebagai ejen cukai kepada kerajaan. Kenaikan harga barang dalam satu-satu masa pula lebih kepada barangan mewah.

Bagi pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Md Jani, beliau berpandangan GST memberi kelebihan dari dua sudut iaitu memudahkan kerajaan mengutip cukai dengan jaminan ia berjalan lebih cekap.

Dalam masa yang sama jelas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan di Kolej Profesional Mara, Melaka ini, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan bebanan pembayar cukai pendapatan yang sebenarnya minoriti.

Bagaimanapun katanya, GST wajar bermula pada kadar yang rendah sebelum dinaikkan beransur-ansur supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau mengambil contoh Singapura yang mula memperkenalkan GST pada 1994 pada kadar sebanyak tiga peratus dan menaikkan kepada lima peratus selepas itu.

Kadar itu tidak jauh berbeza dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu berkisar antara tiga hingga empat peratus yang relevan dengan situasi semasa.

Kadar yang rendah itu juga adalah komitmen kerajaan dalam mengimbangkan dengan kebajikan rakyat.

"Rakyat sebenarnya mengharapkan agar kerajaan menjadikan matlamat mendapatkan pendapatan kerajaan yang lebih baik sebagai keutamaan dalam pelaksanaan GST ini. Bukan semata-mata untuk meringankan beban golongan minoriti pembayar cukai walaupun kedua-dua faedah ini berlaku serentak," katanya.

Dalam hal ini, kerajaan perlu menggiatkan lagi aktiviti kebajikan untuk rakyat bagi mengimbangi beban cukai yang bakal mereka tanggung.

Contohnya menaikan jumlah biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan atau menambah peruntukan. Ini bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmatinya memandangkan cukai ini ditanggung oleh semua individu yang berbelanja termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Selain itu tambah Nassrul Hakim, perlu juga ada keseimbangan antara faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dengan golongan berpendapatan rendah. Ini kerana tambah 'definisi' pengurangan pendapatan kepada golongan kaya dan miskin amat berbeza.

Bagi golongan berpendapatan tinggi katanya, pengurangan pendapatan bermaksud mereka kini hanya boleh melancong dalam negeri berbanding luar negara seperti sebelum ini.

"Tetapi 'definisi' pengurangan pendapatan kepada golongan miskin bermakna jika dahulu mereka makan dua kali sehari, sekarang mereka terpaksa makan sekali sehari," ujar beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1209&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz2WRkBTQLc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment