GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 8, 2009

Berikan penjelasan, biar rakyat faham rasional GST


ARKIB : 07/12/2009


CUKAI barangan dan perkhidmatan (GST) dicadang dilaksanakan di Malaysia pada akhir suku ketiga 2011. Ia merupakan langkah untuk mempelbagaikan sumber kewangan negara melalui dasar fiskal yang lebih ampuh.
Semua negara memerlukan sumber kewangan yang mapan bagi menjana pembangunan ekonomi. Malaysia tidak terkecuali dalam aspek ini.

Kerajaan dijangka menambah pendapatan sebanyak RM1 bilion dengan pengenalan GST. Jumlah itu tidaklah sebegitu banyak berbanding cukai pendapatan dan cukai korporat namun cukup untuk digunakan kembali bagi pembangunan rakyat secara menyeluruh.

Bagaimanapun, sebelum GST diperkenalkan beberapa langkah perlu dilakukan oleh kerajaan agar rakyat benar-benar memahami selok-belok GST.

Langkah terbaik ialah memberi penerangan mengenainya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta. Ia kemudiannya perlu diperluaskan kepada semua golongan rakyat. Beberapa persoalan perlulah dirungkai sedalam-dalamnya sebelum GST dilaksanakan.

Pertama, persoalan asas mengenai apakah GST? Rakyat yang amat menitikberatkan perbelanjaan harian perlu difahamkan mengenainya. Rakyat juga ingin mengetahui kenapakah tahun 2011 dipilih untuk dilaksanakan GST. Bukan semua tahu sistem pencukaian secara mendalam. Inikan pula sistem pencukaian baru.

Kedua, apakah bezanya GST dengan cukai jualan sedia ada? Secara kasar sememangnya prinsip cukai jualan hampir sama dengan GST tetapi perbezaannya tetap ada kerana GST lebih meluas berbanding cukai jualan. Oleh itu, senarai barangan dan perkhidmatan dikenakan GST patut dikeluarkan agar rakyat tahu dan boleh memberi maklum balas.

Rakyat juga perlu difahamkan kenapa barangan keperluan dan pengangkutan awam tidak dikenakan GST. Mereka juga perlu mengetahui siapakah golongan yang bakal menerima kesan besar berbanding golongan yang lain.

Mereka juga harus diberi peluang memberi maklum balas mengenai kadar yang dicadangkan iaitu sebanyak empat peratus. Adakah rakyat bersedia untuk menerima kadar GST sebanyak itu atau perlu pengubahsuaian terhadap kadar tersebut?

Selain itu, bagaimanakah ia dilaksanakan merupakan satu lagi aspek yang tidak harus dilupakan. Mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan mestilah benar-benar berkesan. Rakyat tentunya tidak mahu mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap sistem pencukaian baru ini.

Umpamanya, meskipun kerajaan telah menjelaskan bahawa pengenalan mengenai GST tidak memberi kesan kepada inflasi, namun perkara ini merupakan salah satu aspek yang amat dikhuatiri rakyat. Disini, penguatkuasaan amatlah penting.
Persoalan-persoalan di atas merupakan sebahagian persoalan yang perlu diperjelaskan kepada rakyat mengenai GST.
Namun persoalan paling sukar untuk diperjelaskan tetapi ia merupakan persoalan terpenting agar tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan ia sebagai isu rakyat iaitu kewajaran GST diperkenalkan.

Kenapakah kerajaan memperkenalkan GST? Kerajaan perlu menerangkan kepada rakyat selain daripada faktor mempelbagaikan sumber kewangan negara, rakyat juga ingin mengetahui sedalam-dalamnya secara menyeluruh tentang kewajaran GST diperkenalkan.

Jika kerajaan dapat menerangkan sejelas-jelasnya mengenai GST dan rakyat berpuas hati, tidak mustahil ia boleh diperkenalkan tanpa sebarang masalah besar.

Kegagalan penerangan boleh menyebabkan sistem GST menjadi liabiliti kepada kerajaan. Bahkan ia boleh dijadikan modal oleh pembangkang.

Agensi-agensi pelaksana dan penguatkuasa yang bakal terlibat secara langsung dengan GST juga harus memainkan peranan memberi penerangan.

Jika secara menyeluruh, rakyat masih lagi tidak bersedia menerima GST, perlu juga difikirkan tindakan selanjutnya kerana apa pun dasar yang ingin dilaksanakan mestilah mendapat "restu" rakyat. Kepentingan rakyat mestilah didahulukan, sama seperti gagasan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

ROHAMI SHAFIE
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1207&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz2WRifNein
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment