GST
SHAH ALAM - Kerajaan disaran memulakan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di bawah paras empat peratus jika ia mahu dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Hal ini kerana, perkara pertama yang harus dipertimbangkan untuk melaksanakan GST ialah pendapatan rakyat.

"Pendapatan mereka haruslah bertambah baik jika GST dilaksanakan," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Dr Dzul kepada Sinar Harian Online.

"Singapura juga bermula dengan tiga peratus manakala cadangan untuk GST di Malaysia tujuh peratus, ini membebankan," tambahnya lagi.

Menurut Dr Dzul, perlaksanaan GST adalah lebih baik daripada sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) namun beberapa faktor perlu diambil kira sebelum melaksanakannya.

Perkara pertama yang harus diteliti ialah pendapatan rakyat terutama golongan miskin dan sederhana.

Penganalisis berpendapat, pelaksanaan GST, walaupun dapat meluaskan asas kutipan cukai namun ia membebankan golongan pertengahan dan miskin.

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan MPN, Profesor Dr Shazali Abu Mansor berkata, pelaksanaan GST membolehkan cukai dapat diselaraskan secara menyeluruh.

Beliau turut menyarankan ia bermula di bawah kadar lima peratus.

"Namun, pelaksanaan GST ini perlu dikecualikan kepada barang-barang asas seperti gula, tepung, minyak masak, kerana ianya akan membebankan rakyat kelak," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Dzul berkata, jika GST mahu dilaksanakan, kerajaan juga harus komited untuk menutup pintu kebocoran dari sudut ketirisan, amalan rasuah, kronisme, dan nepotisme.

“Pada hemat saya kerajaan perlu meningkatkan tahap modal insan dan keterampilan rakyat, kerana ianya sekaligus dapat meningkatkan tahap produktiviti negara dan hasilnya ianya dapat meningkatkan tahap pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pula berpendapat, pelaksanaan GST pada waktu terdekat ini hanya akan membebankan rakyat kerana peratusan rakyat miskin di negara ini masih tinggi.

“Tahap kemiskinan di Malaysia masih lagi tinggi, jadi saya lihat perlaksanaan GST akan menekan serta membebankan mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan harus mencari makanisme terbaik bagi mengurangkan bebanan rakyat di samping mengawal ketirisan dan kebocoran wang negara bagi meningkatkan lagi tahap ekonomi negara.

“Perbelanjaan kerajaan haruslah berhemah, ketirisan dan kebocoran wang negara mestilah dielak sama sekali, dengan itu saya rasa ekonomi kita akan berkembang dengan lebih baik,” katanya sambil menambah GST hanya akan menyebabkan inflasi berlaku.

Sementara itu, menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, GST tidak wajar dilaksanakan kerana ianya tidak seiring dengan peningkatan pendapatan rakyat di negara ini.

“Bagi saya GST tidak wajar dilaksanakan, kerana masalahnya sekarang ialah purata pendapatan rakyat Malaysia masih lagi berada ditahap rendah, ini tidak adil bagi mereka, sebaliknya memberi bebanan pula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat sekaligus dapat mengurangkan bebanan ekonomi mereka.

“Kerajaan perlu berikhtiar dan mencari jalan terbaik bagi meningkatkan purata pendapatan ekonomi rakyat, bukannya melaksanakan GST,” katanya