GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, December 6, 2012

Unjuran KDNK naik 5.1 peratus


ARKIB : 05/12/2012

Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
ekonomi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menaikkan unjurannya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi keseluruhan tahun ini kepada 5.1 peratus berbanding unjuran sebelumnya iaitu 4.9 peratus.

Institut pemikir itu juga menaikkan unjuran bagi keseluruhan tahun 2013 kepada 5.6 peratus berbanding unjuran awal 5.4 peratus.

Menurut Pengarah Eksekutif MIER, Zakariah Abdul Rashid, semakan menaik itu didorong oleh unjuran yang lebih baik daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Malah, pertumbuhan ekonomi China yang sedang dalam frasa pengukuhan selepas merekodkan lonjakan beberapa tahun lalu turut menjadi sandaran positif kepada perkembangan ekonomi Malaysia.

"Banyak kerja-kerja pengukuhan (ekonomi) yang sedang dilakukan oleh China buat masa ini dan sekiranya kadar KDNK yang dicatat negara tersebut berterusan, ini memberi harapan untuk kita melihat prestasi ekonomi Malaysia lebih baik pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Ekonomi Kebangsaan anjuran MIER di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Jelas Zakariah, ekonomi Malaysia masih bergantung kepada eksport dan permintaan domestik masih tidak mencukupi untuk melonjakkan KDNK.

"Melihat kepada ekonomi Malaysia, kita tidak mampu mencatat kadar yang lebih tinggi seperti 5.9 peratus atau enam peratus jika hanya bergantung kepada permintaan domestik untuk tempoh sederhana dan panjang.

Jadi, bersandarkan ramalan bahawa ekonomi China mengukuh dan pada masa yang sama krisis di Zon Eropah dan Amerika Syarikat akan selesai, kita akan mampu memulihkan semula sektor eksport. Namun, sekiranya situasi tersebut bertukar sebaliknya, kita pasti akan terkena impak yang besar," katanya.

Dalam pada itu, Zakariah turut mencadangkan perubahan struktur ekonomi bagi meluaskan asas perolehan negara dan tidak hanya bersandar kepada perolehan berasaskan minyak dan gas sahaja.

Jelasnya, selain pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), struktur cukai pendapatan individu dan korporat juga perlu dilakukan perubahan.

"Mesti ramai yang merungut apabila GST dilaksanakan, jadi untuk mengurangkan masalah itu, kerajaan seharusnya melakukan perubahan terhadap cukai pendapatan individu dan cukai korporat supaya menjadi lebih kompetitif," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121205/ek_04/Unjuran-KDNK-naik-5.1-peratus#ixzz2WdBF4ZcG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment