Publication: BH
Date of publication: Dec 5, 2012
Section heading: Bisnes
Page number: 004
INSTITUT Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 5.6 peratus tahun depan dan 6.2 peratus pada 2014.
Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid, (gambar) berkata pertumbuhan kukuh itu akan didorong oleh permintaan domestik dan pemulihan pertumbuhan ekonomi global.
Beliau berkata, unjuran MIER itu juga adalah berdasarkan unjuran Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia terhadap pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus tahun ini dan 3.6 peratus tahun depan.
China pengaruhi pertumbuhan
"Berdasarkan perkembangan semasa dan unjuran yang dikeluarkan IMF dan Bank Dunia, kami mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 5.6 peratus pada tahun depan dan 6.2 peratus pada 2014," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kertas kerja bertajuk "Tinjauan Ekonomi Malaysia" sempena Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara 2013-2014 yang di-anjurkan MIER di Kuala Lumpur semalam.
Zakariah bagaimanapun berkata, pertumbuhan ekonomi negara tahun depan turut bergantung kepada pertumbuhan ekonomi China kerana negara itu adalah destinasi eksport utama negara.
Malaysia mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi enam peratus jika krisis hutang di zon euro dapat diselesaikan dan China kembali semula mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, katanya.
Mencabar ekonomi global
Beliau turut menegaskan, terdapat beberapa isu struktur yang perlu ditangani secara dalaman untuk memastikan ekonomi negara menjadi lebih berdaya tahan bagi tempoh jangka panjang.
Katanya, Malaysia memerlukan pembentukan semula dari segi cukai dalam usaha meningkatkan pendapatan negara pada masa depan dan mengurangkan pergantungan kerajaan daripada hasil minyak serta gas.
Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat tepat dalam usaha meningkatkan jumlah kutipan cukai tidak langsung di negara ini, katanya.
Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2012, disokong oleh permintaan domestik yang terus kukuh di tengah persekitaran mencabar ekonomi global.
Berikutan pencapaian itu, ekonomi negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berkembang 5.3 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus pada suku pertama dan 5.6 peratus pada suku kedua.
No comments:
Post a Comment