ARKIB : 28/09/2011
Pada masa ini, seseorang individu yang menerima pendapatan penggajian akan mendapati sebahagian gajinya ditolak cukai secara bulanan. Kadar potongan bulanan berjadual ini bergantung kepada status individu tersebut seperti adakah individu tersebut berkeluarga atau sebaliknya.
Potongan bulanan berjadual ini merupakan cukai yang dijelaskan secara pendahuluan. Apabila individu tersebut mengemukakan Borang Retan dan mengira jumlah akhir cukai yang dikenakan, jumlah yang dipotong secara bulanan ini ditolak daripada jumlah tersebut. Sekiranya jumlah cukai akhir ini lebih tinggi maka pembayar cukai individu tersebut harus menjelaskan baki cukai tersebut selewat-lewatnya 30 April. Jika sebaliknya, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulangkan amaun yang dipotong secara berlebihan.
Jadi tidak hairanlah menjelang 30 April setiap tahun, kaunter-kaunter LHDN akan sesak dengan orang ramai. Banyak masa yang dihabiskan hanya untuk mengemukakan sekeping borang. Pihak LHDN pula harus menggaji lebih tenaga kerja serta membayar kos lebih masa untuk memproses borang-borang tersebut.
Ada pihak yang berpendapat sekiranya seseorang individu hanya menerima pendapatan penggajian sahaja, maka potongan cukai secara bulanan ini sudah memadai tanpa perlu untuk individu tersebut mengemukakan Borang Retan. Pemilihan ini boleh dilakukan individu tersebut pada permulaan tahun. Cara ini mungkin boleh menjimatkan belanja dan masa bagi kedua-dua pihak.
Menyelaras kadar cukai untuk individu
PEMBAYAR cukai individu dikenakan cukai pada kadar-kadar cukai berkala bergantung kepada jumlah pendapatan yang diterima. Pembayar cukai yang pendapatan bercukai tidak melebihi RM2,500 setahun tidak perlu membayar cukai. Bagaimana, julat di antara satu kadar dengan kadar dilihat terlalu rapat. Kerajaan disarankan untuk mengkaji semula julat tersebut dan melebarkan had pendapatan bercukai di antara satu tahap dengan tahap seterusnya. Ini secara tidak langsung juga menawarkan pengurangan cukai terutamanya untuk golongan berpendapatan sederhana.
Kerajaan juga harus mengkaji semula kadar cukai tertinggi untuk individu kerana setiap individu yang memperoleh pendapatan lebih daripada RM100,000 akan dikenakan cukai pada kadar 26 peratus ke atas pendapatan yang melebihi RM100,000 sedangkan kadar cukai korporat hanyalah 25 peratus. Walaupun perbezaan di antara kadar-kadar ini hanyalah satu peratus, namun bagi pembayar cukai individu yang menerima pendapatan dividen yang mana jumlah pendapatannya melebihi RM100,000 akan mendapati bahawa beliau harus menjelaskan lebih cukai berbanding pembayar cukai korporat. Ketidakseimbangan ini merugikan pembayar cukai individu tersebut.
Pelepasan cukai untuk bencana alam
SETIAP kali bencana alam seperti tanah runtuh atau banjir melanda, pasti ada yang akan kerugian ekoran kerosakan harta. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kita perlu untuk berbelanja bagi menggantikan barangan yang rosak. Kerajaan mungkin dapat mempertimbangkan untuk membenarkan kerugian atau perbelanjaan bagi menggantikan kerosakan diberi pelepasan cukai di dalam Bajet 2012. Ini sudah tentu dapat meringankan bebanan yang dipikul.
Kita juga amat bertuah menjadi rakyat di bumi Malaysia. Jarang sekali kita mengalami bencana alam seperti kebuluran, gempa bumi, banjir besar seperti di negara-negara lain. Namun, kita tetap prihatin terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka yang dilanda bencana tersebut dan selalu bersedia menghulurkan bantuan. Inilah sifat pemurah rakyat Malaysia.
Namun demikian, sumbangan yang dilakukan hanya layak dituntut tolakan cukai tidak boleh melebihi 7.0 peratus daripada jumlah pendapatan yang kena cukai. Barangkali, kerajaan di dalam Bajet 2012 ini dapat mencadangkan mana-mana sumbangan yang dilakukan kepada badan-badan bukan kerajaan bagi tujuan membantu mangsa-mangsa ini diberi tolakan cukai tanpa had bagi menggalakkan lebih ramai pihak beramal jariah.
Menyenaraikan apa yang kita mahu adalah satu perkara yang mudah. Kita mahu penurunan di dalam kadar cukai. Kita mahu lebih pelepasan cukai. Kita mahu kemajuan dan infrastruktur berkelas antarabangsa. Namun hakikatnya, kerajaan menghadapi tekanan untuk merapatkan jurang defisit perbelanjaan. Ini hanya boleh dilakukan melalui dua perkara iaitu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Tentunya dengan apa yang kita mahu, pendapatan kerajaan daripada hasil cukai pendapatan akan berkurangan. Jadi kita mungkin tidak akan dapat apa yang kita mahu melainkan kerajaan mempunyai sumber lain untuk meningkatkan pendapatan. Sumber ini semestinya tidak bergantung ke atas pendapatan kerana jumlah pembayar cukai pendapatan adalah kecil iaitu 1.7 juta. Sumber ini harus berdasarkan anggaran.
Sekiranya sumber ini adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kita hanya mampu untuk tunggu dan lihat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0928&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WcuiAVST
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment