ARKIB : 05/10/2011
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kerajaan perlu mengurangkan kadar cukai pendapatan individu dan korporat yang dikenakan selama ini sebagai langkah untuk meringankan beban tanggungan rakyat berpendapatan rendah.
Penganalisis ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pengurangan kadar cukai itu dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi.
"Kadar cukai individu dan korporat harus dikurangkan sebanyak satu hingga dua peratus supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas harapannya terhadap Belanjawan 2012 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Ramon berkata, merangka satu belanjawan bukan suatu perkara mudah kerana ia perlu mengambil kira pelbagai faktor demi menyediakan belanjawan yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Beliau turut menasihatkan kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam menyediakan belanjawan itu bagi mengelak berlakunya defisit yang sekali gus akan mempengaruhi prestasi ekonomi serta peningkatan inflasi negara.
"Kerajaan perlu merancang projek yang benar-benar membawa faedah kepada rakyat seperti My Rapid Transit (MRT),'' katanya.
Menurutnya, kerajaan juga perlu menggalakkan kewujudan lebih ramai peniaga kecil walaupun mereka berniaga nasi lemak dan mi goreng.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, kadar cukai individu dan korporat di negara ini masih disifatkan terlalu tinggi dan harus disemak semula.
"Setakat ini, cukai korporat telah mencecah 25 peratus berbanding negara jiran iaitu Singapura hanya 17 peratus dan jika dikira bersama cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cukai korporat di Malaysia masih dianggap tinggi.
"Cukai individu pula ketika ini adalah 26 peratus dan harap ia dapat dikurangkan bagi meringankan beban tanggungan rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Shamsuddin juga memberi cadangan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian pelepasan cukai kepada syarikat korporat yang memberi bonus tahunan melebihi gaji sebulan kepada pekerjanya.
"Ini tidak akan merugikan kerajaan kerana pelepasan cukai dan bonus yang diberikan itu, akhirnya akan dibelanjakan juga dalam pasaran negara," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm#ixzz2WcvFt4Kb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment