GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, September 27, 2011

Tawar banyak insentif?


ARKIB : 26/09/2011

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Bajet 2012 dijangka menawarkan pelbagai insentif untuk melengkapkan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Berikutan itu, Bajet 2012 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini akan membabitkan empat strategi iaitu meningkatkan kualiti hidup, melaksanakan pendekatan proaktif kerajaan untuk meluaskan aktiviti ekonomi, menyediakan persekitaran perniagaan yang mesra serta pembangunan dan latihan semula bakat berkelas dunia.

AmResearch dalam nota penyelidikannya berkata, Bajet 2012 begitu terangkum dan memberi fokus kepada segmen penduduk tertentu khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tanpa mengenepikan untuk menyediakan persekitaran perniagaan kondusif melalui lebih banyak insentif dan pelepasan cukai.

Menurutnya, Bajet 2012 bakal menyasar kepada mengurangkan beban rakyat disebabkan kos kehidupan yang begitu tinggi.

Oleh itu, firma penyelidikan itu meramalkan kerajaan akan memperkenalkan bantuan langsung dalam bentuk baucer tunai yang boleh ditebus di Kedai 1Malaysia serta bantuan lain kepada ibu-ibu tunggal, pemandu teksi, pekerja estet dan golongan berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

AmResearch berkata, firma itu percaya kerajaan juga tidak akan meminggirkan kumpulan berpendapatan sederhana - dengan memperkenalkan rebat cukai.

Untuk meningkatkan permintaan domestik, kerajaan dijangka memperkenalkan pengurangan secara sukarela sumbangan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Langkah itu membolehkan terdapat lebihan kira-kira RM700 juta sebagai pendapatan boleh guna.

Untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara kompetitif di rantau ini, kerajaan dijangka meliberalisasi garis panduan pelaburan dengan meningkatkan pegangan asing dalam sektor tertentu seperti minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan perniagaan profesional.

Kerajaan juga dijangka mengurangkan cukai pendapatan individu sebanyak 1.0 peratus mata tetapi mengekalkan cukai korporat.

Kata AmResearch, pengurangan cukai itu dijangkakan sebelum kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sekiranya negara serius mahu menarik pelaburan langsung asing dan membawa pulang diaspora.

''Ia adalah langkah positif dalam persediaan untuk melaksanakan GST pada 2014 atau 2015.

''Malah, cukai pendapatan rendah mampu menjadi daya tarikan untuk membawa pulang bakat mahir tempatan di luar negara,'' katanya.

Dalam pada itu, AmResearch berkata, Bajet 2012 perlu mengekalkan sokongan pertumbuhan fiskal, memberi keseimbangan pengurangan defisit daripada unjuran 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2011 kepada 5.2 peratus pada 2012.

Firma itu membayangkan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan pengurangan bagi perbelanjaan pembangunan adalah sukar ketika pertumbuhan dunia merosot.

Secara keseluruhannya, AmResearch meramalkan Bajet 2012 akan memberi lebih banyak berita baik, sekali gus memberi petanda bahawa pilihan raya umum semakin hampir - kemungkinan pada awal tahun depan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0926&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WctJFEa6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment