GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, August 13, 2013

Persekitaran Luar Kekal Cabaran Utama Kepada Malaysia Dalam Jangka Terdekat


Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Meskipun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak kebelakangan ini, persekitaran luar kekal menjadi cabaran utama kepada Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan positif dalam jangka masa terdekat.

Harga komoditi yang lemah, permintaan global yang perlahan untuk barangan elektrik dan elektronik serta kekuatan yang menyusut daripada ekonomi baru muncul seperti China dan India, akan memberi cabaran kepada sebuah ekonomi terbuka, termasuk Malaysia.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd Nor Zahidi Alias berkata ketidaktentuan ekonomi dunia dan kebimbangan yang menyelubungi Pilihan Raya Umum ke-13 adalah faktor utama yang mempengaruhi ekonomi Malaysia pada separuh pertama tahun ini.

"Pada masa yang sama, harga komoditi yang lemah menjejaskan sektor eksport dan mempengaruhi pertumbuhan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keadaan itu juga diperkukuhkan dengan kelemahan dalam beberapa negara baru muncul termasuk China, yang dijangka mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan antara tujuh peratus dan 7.5 peratus pada 2013.

Nomura dalam penyelidikan pasaran global terkini yang memberi tumpuan kepada China menyatakan bahawa penurunan satu mata peratusan dalam keluaran dalam negara kasar China akan mengurangkan pertumbuhan global di luar ekonomi kedua terbesar di dunia itu dengan ekonomi yang paling teruk terjejas adalah di Asia.

Ekonomi yang akan terjejas teruk ialah Hong Kong dengan pertumbuhan turun sebanyak satu mata peratusan atau lebih.

Kesan ini juga besar kepada negara-negara pengeluar komoditi termasuk Malaysia, Australia dan di Amerika Latin, walaupun terletak lebih jauh dari China.

China adalah pengguna komoditi terbesar dunia termasuk getah asli dan tembaga.

Ketua Penyelidikan Serantau Standard Chartered Bank Edward Lee berkata terdapat banyak faktor yang memberi kesan kepada pertumbuhan mampan ekonomi jangka panjang seperti persekitaran makroekonomi yang stabil.

"Malaysia telah menjadi sangat berjaya dalam mengekalkan pertumbuhan yang tinggi dan berterusan. Sememangnya, perjuangan tidak berhenti di sini," katanya.

Bagaimanapun, tekanan inflasi mungkin bermula pada tahun depan terutamanya jika tarif elektrik diselaraskan dan subsidi petroleum dikurangkan lagi, kata Nor Zahidi.

Lee berkata harga makanan dan minyak dunia telah meningkat baru-baru ini dan bertukar positif bagi asas tahun ke tahun.

"Ini boleh menambah kepada inflasi, walaupun sebarang dorongan kini dijangka sederhana. Kami menjangka inflasi tahun penuh pada kira-kira 2.1 peratus," katanya.

Nor Zahidi berkata tekanan harga juga akan datang daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika ia dilaksanakan pada 2014.

"Kami berpendapat kesan GST, jika diperkenalkan tahun depan, akan menjadi satu keadaan sahaja tetapi implikasinya terhadap perbelanjaan pengguna tidak boleh dipandang ringan, " katanya.

Lee menjangka penyatuan fiskal terus berlaku dalam jangka masa terdekat bagi kerajaan untuk mengekalkan kedudukan fiskal jangka panjang serta menangani kenaikan hutang isi rumah.

"Syarat pinjaman mungkin diketatkan secara beransur-ansur di sesetengah bidang. Sebagai contoh, BNM telah memperkenalkan peraturan berhemat mikro yang baharu untuk menangani hutang isi rumah yang tinggi," katanya.

Tekanan ke atas ringgit juga akan menjadi kebimbangan terutamanya jika aliran keluar terus meningkat berikutan hasrat Rizab Persekutuan AS untuk mengurangkan pembelian bon, kata Nor Zahidi.

"Kebimbangan boleh bertambah jika lebihan akaun semasa Malaysia terus mengecut," katanya.

Bagi domestik, keadaan kurang membimbangkan walaupun sesetengah ketidakseimbangan seperti hutang isi rumah yang tinggi boleh menyebabkan penggubal dasar melaksanakan langkah-langkah yang akan menurun kadar penggunaan persendirian, kata Nor Zahidi.

Lebihan akaun semasa Malaysia telah berkurangan kepada RM8.7 bilion pada suku pertama 2013 daripada RM40 bilion pada suku ketiga 2008.

Lebihan akaun semasa Malaysia mengecil dengan ketara sejak dua tahun kebelakangan ini, mencapai paras rendah 10 tahun pada 3.7 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2013 daripada lebih 10 peratus daripada KDNK pada 2011.

Pengurangan berkenaan didorong oleh gabungan eksport yang lemah, permintaan domestik yang kukuh dan harga komoditi yang rendah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment