GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, August 13, 2013

Jom Shopping ala BR1M, tanggungjawab sebuah kerajaan



ARKIB : 04/08/2013

KERAJAAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor boleh memuji diri sendiri berikutan kemampuannya meneruskan program membantu rakyat kecil di negeri itu menjelang Aidilfitri ini. Program itu dipanggil Jom Shopping.

Tahun ini Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.8 juta untuk 28,000 keluarga menerima kupon bernilai RM100.

Dalam program itu, penerima yang kebanyakkannya ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya dikumpulkan dan diberikan kupon untuk membeli barangan keperluan Aidilfitri di pusat membeli-belah terpilih.

Peserta program dipilih oleh ketua kampung, pengerusi persatuan penduduk dan ahli majlis. Kupon pula disampaikan oleh orang politik biasanya ADUN atau pegawai penyelaras bagi DUN di kawasan pembangkang. Memang hingar-bingar pusat beli-belah apabila 500 keluarga berbelanja serentak.

Media kerajaan negeri dan propakatan pembangkang pun mempromosi program Jom Shopping ini. Walaupun kerajaan negeri mengaku penerima bantuan melangkaui sokongan politik tetapi media mereka menonjolkan temu bual penerima yang memuji-muji bantuan dan keprihatinan kepimpinan pakatan pembangkang.

Jom Shopping bunyinya tak ubah seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Cuma nilai bantuan BR1M lebih tinggi iaitu RM500 untuk isi rumah dan RM250 untuk penerima bujang. Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini pula dalam proses memperincikan jumlah penambahan bantuan yang bersesuaian.

Ini sebagaimana janji kerajaan BN dalam manifesto pilihan raya 2013 untuk menambah jumlah bantuan sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dalam masa lima tahun ini. BR1M mahupun Jom Shopping memang tak banyak bezanya termasuk cara bantuan diberikan.

Cuma anehnya, politikus BN atau mana-mana NGO tidak kedengaran mengkritik apatah lagi mengecam bantuan Jom Shopping. Jom Shopping tidak lebih dianggap sebagai tanggungjawab rutin sebuah kerajaan untuk kesejahteraan rakyatnya.

Jauh sekali untuk mengutuk pemberian itu sebagai rasuah memancing undi. Mungkin tidak terfikir pun untuk menganggap bantuan Jom Shopping umpama memberi makan kepada haiwan. Juga tak perlu susah-susah mereka cipta 'fatwa' untuk memburuk-burukkan Jom Shopping.

Begitu juga tiada desakan agar orang politik tidak dilibatkan untuk menyampaikan bantuan itu. Penerimanya pula tidak diragukan walaupun mungkin berlaku pilih kasih atau ada penerima yang sepatutnya layak tercicir.

BR1M seperti Jom Shopping bukanlah kail yang boleh menambah pendapatan penerimanya tetapi memberi manfaat secara tidak langsung termasuk membantu merancakkan ekonomi setempat.

Jika mahu dicari masalah memang banyak. Bayangkan susah payah warga emas atau orang kurang upaya yang datang dari jauh hanya untuk digembirakan dengan barangan bernilai RM100. Apakah barang yang boleh dibeli dengan RM100? Adakah berbaloi?

Yang jelas Jom Shopping tidak dipolitikkan oleh pihak sebelah sini sebagaimana orang seberang sana begitu suka mempolitikkan BR1M. Nampaknya pihak sebelah sini tidak melulu panik dan ketakutan sokongan bakal merosot akibat bantuan Jom Shopping itu.

Sungguh, kaca mata yang digunakan untuk menilai bantuan itu sangat berbeza. Hanya kerana BR1M merupakan cetusan idea kerajaan BN, bantuan itu menjadi sesuatu yang berniat jahat dan penuh konspirasi.

Bagaimanapun sesebuah program itu akan dipuji melangit jika dibuat oleh kerajaan pakatan pembangkang. Seperti itulah dwi standard dan cara politik kita yang cenderung mengutamakan persepsi.

Terlalu kerap kita lebih mengutamakan suara minoriti. Jadi, tidak perlulah lagi mengikut rentak tari pembangkang dan kumpulan-kumpulan pendesaknya.

Rumusannya, lakukan yang terbaik untuk rakyat. Jangan sesekali ragu-ragu. Salah satu aspek penting mengapa sebuah negara perlu ada ialah untuk mewujudkan keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyatnya. Dengan kata lain, menyediakan kehidupan yang selayaknya untuk rakyat.

Sebab itu, negara pun diberi mandat kekuasaan bahkan dana oleh rakyat agar rakyat dapat hidup selayaknya. Negara mesti wujud dan dirasakan kewujudannya. Sebab itu, jika dirasakan BR1M bermanfaat untuk kemaslahatan rakyat, teruskan dan lakukan tambah baik agar impaknya lebih menyeluruh.

Begitu juga, dalam program-program rakyat didahulukan lainnya. Jika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sudah lama tertangguh, bagus untuk rakyat mengapa bertangguh lagi hanya kerana mahu melayan suara kumpulan minoriti propembangkang?

Sama juga, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Jangan terganggu dengan tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), kumpulan yang sudah lama dikenal sebagai ultra kiasu.

Kewujudan kumpulan seperti Dong Zhong ini yang mendakwa PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah vernakular tidak perlu dilayan. Pandangan sempit pertubuhan ini hanya menjadikan keadaan bertambah serabut. Umum pun sudah mengetahui kumpulan ini sentiasa mahukan ekstra walaupun hak-hak dasar telah dipenuhi.

Sama ada BR1M mahupun Jom Shopping, kerajaan yang bertanggungjawab perlu yakin dengan apa yang dilakukan kepada rakyatnya. Dalam hal-hal tertentu terutama berkaitan dengan hak orang banyak, kerajaan bukan sahaja perlu tegas tetapi menggunakan segala kekuasaannya untuk mempertahankan hak itu.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment