GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, October 6, 2010

Kerajaan disyor struktur semula cukai


ARKIB : 05/10/2010


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Institut Percukaian Malaysia (CTIM) mengesyorkan kepada kerajaan supaya menstruktur semula sistem percukaian negara bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

CTIM mencadangkan kerajaan menurunkan cukai korporat kepada 20 peratus berbanding 25 peratus ketika ini selain mengharapkan cukai pendapatan turut diturunkan bagi menggalakkan perbelanjaan.

Bagaimanapun, Presidennya, Khoo Chin Guan berkata, penurunan itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat agar tidak menjejaskan kutipan cukai kerajaan yang boleh memberi kesan terhadap usaha pengurangan defisit negara.

"Sedikit penurunan (cukai korporat) akan memberi kesan dan persepsi positif kepada pelabur.

"Penstrukturan cukai korporat dan cukai persendirian itu boleh diselaraskan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar bagi menyampaikan memorendum oleh CTIM kepada kerajaan mengenai Bajet 2011 yang akan dibentangkan pada 15 Oktober ini.

Chin Guan berkata, pelaksanaan GST boleh mengimbangi pendapatan kerajaan yang berkurangan berikutan penurunan kadar kedua-dua cukai tersebut.

"Sebaik-baiknya kerajaan perlu meletakkan satu tempoh bagi pelaksanaannya (GST) supaya peniaga dan pengguna mengetahui kebaikannya dan melakukan persediaan bagi menghadapinya.

"Ia bagi mengelakkan pelaksanaannya dilakukan secara mengejut di mana GST terpaksa dibatalkan kerana masyarakat tidak bersedia menghadapinya," ujar beliau.

Bagi Chin Guan, GST adalah lebih efisien kerana orang ramai lebih jelas terhadap cukai yang dikenakan melalui resit pembayaran.

Antara perkara lain yang turut dicadangkan oleh institut tersebut ialah pengecualian cukai terhadap penggunaan prasarana seperti pusat membeli-belah dan pusat konvensyen.

Kata Chin Guan, kesemua cadangan itu dilihat daripada perspektif sistem percukaian bagi menyediakan persekitaran yang menarik kepada pelabur serta tidak menjejaskan rakyat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1005&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRq5qzxQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment