GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 14, 2010

OCBC: Bajet 2011 dijangka menarik


ARKIB : 13/10/2010


KUALA LUMPUR 12 Okt. - Bajet 2011 yang akan dibentangkan Jumaat ini menjanjikan sesuatu yang menarik kerana ia merupakan bajet pertama di bawah rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), kata Pakar Ekonomi OCBC Bank, Gundy Cahyadi.

Ia akan menjadi petunjuk bagaimana kerajaan akan memulakan pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE).

Cahyadi berkata, pemulihan ekonomi pada tahun ini akan menyaksikan konsolidasi fiskal oleh kerajaan sejajar dengan sasaran untuk menurunkan bajet defisit kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2015.

''Pada masa yang sama, kerajaan telah membayangkan untuk memulakan beberapa projek utama dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

''Sesetengah orang mungkin meragui kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya, soalan pertama sering diutarakan pada peringkat ini, sama ada perbelanjaan tinggi kerajaan menjadi masalah kepada Malaysia,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Cahyadi berkata, jawapan kepada soalan itu adalah 'ya'. Walaupun pelaburan dan perbelanjaan swasta telah pulih secara material pada separuh pertama 2010, tidak dapat dinafikan pertumbuhan negara didorong oleh pertumbuhan eksport.

''Sekurang-kurangnya 80 peratus pengeluaran industri berasaskan eksport dan pendapatan eksport terutama dalam sektor utama seperti minyak dan gas serta minyak sawit, terus memacu sentimen perniagaan dalam ekonomi.

''Kami menjangkakan Malaysia terus menyaksikan perbelanjaan fiskal dan nisbah KDNK kekal tertinggi di rantau ini dan untuk beberapa tahun akan datang kerajaan akan menumpukan perbelanjaan infrastruktur untuk RMK-10.

''Konsolidasi fiskal akan dapat dilihat, sebahagiannya ekoran jangkaan peningkatan perolehan minyak dan gas untuk kerajaan,'' katanya.

Selepas mencecah tujuh peratus KDNK pada 2009, kami menjangkakan defisit fiskal jatuh sekitar lima hingga 5.2 peratus pada 2011 bersandarkan unjuran untuk perkembangan 5.4 peratus pertumbuhan pada tahun lalu.

Pelaksanaan sistem cukai perkhidmatan dan barangan (GST) akan membantu melonjakkan asas perolehan kerajaan, tetapi memandangkan perbincangan mengenai cadangan tersebut semakin sejuk, peluang untuk GST diperkenalkan pada 2011 adalah tipis.

Beliau menambah, baru-baru ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah menyatakan kerajaan mampu mempunyai Bajet 2011 yang tinggi ekoran peningkatan dalam perolehan disebabkan pelaksanaan projek ETP.

Memandangkan pulangan kadar faedah dan antara bahagian besar kepada perolehan kerajaan, projek-projek ETP akan membawa peningkatan pulangan besar terutama pada peringkat permulaan, memandangkan projek berskala besar dalam 2011.

Ujar Cahyadi, mereka percaya peningkatan perolehan diperoleh daripada penerimaan cukai yang lebih tinggi, terutama cukai petroleum.

''Cukai petroleum hanya menyumbang sekitar 13 peratus atau jumlah cukai pada separuh pertama 2010, lebih rendah sebanyak 30 peratus pada 2007 hingga 2009 dan kami menjangkakan nisbah itu kembali normal pada 2011.

''Sebagai tambahan, kami menjangkakan cukai eksais dikenakan pada produk rokok dan tembakau, walaupun tambahan perolehan,'' katanya.

Daripada segi perbelanjaan, adalah lebih menarik untuk menyaksikan projek-projek yang akan dimulakan pada 2011.

Berbalik kepada RMK-10, sejumlah RM230 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan yang menjadi purata sebanyak RM46 bilion sejak lima tahun.

Fokus utama kerajaan adalah projek jangka panjang termasuk meningkat modal insan dan membina sistem MRT Kuala Lumpur.

''Kami menjangkakan bajet itu termasuk geran khas dan insentif bagi aktiviti pembuatan mewah (high-end) (termasuk sektor tenaga hijau) dan terhadap usaha untuk meningkatkan modal insan dan teknikal dengan latihan atau pendidikan tinggi.

Sementara itu, perbelanjaan fiskal MRT KL dan sistem landasan berkelajuan tinggi dijangka mencecah sehingga RM50 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Selain itu, berkaitan dengan subsidi, Cahyadi berkata, kerajaan tidak akan menarik sebarang subsidi sedia ada terutama yang melibatkan pemulihan ekonomi pada tahun ini.

''Ini tidak bermakna, kerajaan akan menggabungkan perbelanjaan subsidi dengan perancangan asal untuk secara perlahan-lahan mengurangkan subsidi minyak dengan purata RM0.10 seliter setiap enam bulan, RM0.05 seliter mungkin akan dipertimbangkan bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia pada tahun hadapan,'' jelasnya.

Akhir sekali, berkaitan dengan pelaksanaan peraturan lebih ketat berkaitan pasaran hartanah terutama apabila pihak berkuasa sedang memantau pertumbuhan pinjaman gadai janji sejak beberapa bulan lalu.

Satu langkah yang mungkin diambil adalah menurunkan nisbah pinjaman kepada nilai bagi pembelian hartanah kedua kepada 70 peratus berbanding 80 peratus seperti apa dilakukan Singapura.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1013&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2WRqWR3i9 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment