GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, October 3, 2010

Merenung belanjawan kali ini


ARKIB : 02/10/2010


PERNAHKAH sesiapa yang bertanggungjawab mengalihkan buat sementara terminal bas dari Puduraya ke Bukit Jalil melihat keadaan di sana? Terutama sekali apabila hari hujan lebat?

Mungkin mereka ini tiada saudara yang perlu mengambil bas ekspres ke selatan. Keadaan di terminal bas Bukit Jalil ini memang menyedihkan. Memanglah kita difahamkan tempat itu hanya sementara sebelum berpindah ke Bandar Tasik Selatan.

Tetapi sudah berapa lama pengguna bas itu terpaksa menggunakan tempat itu sejak diubah suai Puduraya. Kini kita diberitahu Puduraya tak boleh siap dalam jangka masa yang dijangkakan dulu kerana asas bangunan tidak kuat.

Suatu pagi saya terpaksa menghantar saudara saya dengan anak-anaknya ke terminal bas tersebut. Ini berlaku semasa Hari Raya Puasa baru-baru ini untuk menaiki bas pukul 8.45 pagi ke Johor Bahru.

Sampai di Bukit Jalil hujan terlalu lebat. Kita memang tidak diberi masuk ke tempat bas yang jauh daripada tepi jalan. Keadaannya memanglah menyedihkan. Walaupun ada payung tetapi dengan hujan lebat kita akan basah kuyup. Di tempat menunggu bas, tempat duduk pun tak ada.

Kita tidak tahu bilakah terminal bas yang tetap akan bermula operasi di Bandar Tasek Selatan tetapi sesuatu yang lebih baik patut diadakan di Bukit Jalil sekarang kerana ramai di kalangan rakyat yang menggunakan khidmat bas untuk perjalanan jarak jauh.

Selepas program transformasi ekonomi, satu lagi acara penting yang bakal menerima perhatian awam ialah belanjawan 2011. Belanjawan kali ini bakal melihat pengurangan defisit daripada 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ada beberapa isu yang akan diberikan perhatian dalam belanjawan kali. Pertama kemungkinan pertumbuhan ekonomi global yang akan lebih perlahan, seperti yang disarankan oleh Ketua Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia, Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin baru-baru ini.

Ini bererti pertumbuhan ekonomi kita pun mungkin rendah sedikit sekitar 5 ke 6 peratus. Kemudian soal mengurangkan defisit bermakna mengurangkan belanja, kalau tidak macam mana hendak turunkan defisit.

Sasaran yang kita diberitahu ialah sekitar 3.5 peratus KDNK. Ini bermakna perbelanjaan operasi akan dipotong daripada jumlah sebelumnya atau adalah bahagian-bahagian pembangunan yang juga kena potong.


Tetapi kita diambang melonjakkan negara ke arah negara berpendapatan tinggi dan daripada 131 program titik kemasukan dan 60 peluang perniagaan yang walaupun bergantung kepada sektor swasta 8 peratus dianggarkan daripada kerajaan dan kalau dibahagikan kepada tahun, sebahagian daripada 8 peratus itu kena juga dibelanjakan.

Kedua, kerajaan perlu mempeluaskan liputan cukai kalau ingin menambahkan pendapatan. Kalau cukai perkhidmatan am diperkenalkan hanya dalam setakat RM4 bilion sahaja dapat dikutip.

Tetapi tentangan kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mungkin belum reda kerana kefahaman tentangnya belum menyeluruh.

Ketiga, subsidi. Subsidi ini suatu perkara yang terlalu sensitif. Maklumlah kalau seseorang itu sudah biasa dengan diberikan subsidi kemudian hendak menariknya bukan senang. Walaupun minyak naik 5 sen seliter macam-macam kita dengar daripada pihak yang tidak setuju.

Pendapat awam daripada kajian-kajian yang dijalankan bahawa ramai yang bersetuju subsidi ditarik berperingkat-peringkat. Pihak parti pembangkang tentulah akan menentang sebaran penarikan subsidi kerana kata mereka yang bocor dan tiris dalam perbelanjaan kerajaan seperti yang kerap diketengahkan oleh Ketua Audit Negara berjumlah berbilion ringgit.

Pokoknya asas penarikan subsidi ialah mereka yang tidak sepatutnya menerima subsidi termasuk syarikat tidak patut diberikan subsidi seperti tenaga dan air. Subsidi patut diberikan kepada mereka yang kedudukan hidupnya tidak membolehkan mereka menampung kenaikan kos sara hidup.

Subsidi yang jelas berakhir dengan pembaziran patut diberhentikan sama sekali kerana ada juga pihak-pihak yang menerima subsidi yang cuba membuat untung daripada subsidi yang diterima.

Memang sukar untuk mengesahkan keperluan jabatan, bahagian dan kementerian kerana proses penyediaan belanjawan memang suatu proses yang rumit dan mengambil masa.

Pihak Perbendaharaan yang mempunyai kata putus atas apa jua permintaan jabatan, bahagian dan kementerian terpaksa tertakluk kepada sesuatu keperluan besar dan lebih penting seperti berlandaskan kepada sesuatu tema, berbelanja dengan bijak.

Di antara bidang yang bakal diberikan perhatian, tidak lain dan tidak bukan ialah latihan untuk meningkatkan tahap kemahiran tenaga pekerja termasuklah bidang teknikal dan vokasional.

Kita mungkin melihat usaha-usaha awal Talent Corporation yang disebut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh RMK-10 untuk menarik rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Insentif dan lain-lain kemudahan mungkin akan diperuntukan dalam belanjawan ini sebagai permulaan.

Walaupun pengukuhan mata wang Ringgit dapat membantu mengurangkan peruntukan untuk import barangan, mata wang jarang digunakan sebagai alat untuk memperbaiki pertumbuhan ekonomi semata-mata, kerana pada waktu yang sama eksport kita mungkin berkurangan kerana harga barangan kita menjadi lebih mahal.

Industri yang sanggup melonjakkan diri mereka ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi mungkin diberikan galakan kerana kita perlu industri bertukar wajah daripada yang bergantung kepada pekerja kurang mahir kepada pekerja mahir dan daripada industri yang rendah teknologi kepada industri yang berteknologi tinggi.

Sektor swasta kita sendiri bakal menjana pertumbuhan untuk menaikkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi. Kalau mereka tidak sanggup mengubah kedudukan mereka ke tahap yang lebih berasaskan pengetahuan dan teknologi tinggi, kita tidak akan dapat mencapai hajat yang kita inginkan.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1002&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2WRpejWUm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment