Publication: BH
Date of publication: Sep 13, 2012
Section heading: Bisnes
KUALA LUMPUR: Cadangan
pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan tahun ini
memandangkan kerajaan sedang berusaha mewujudkan kesedaran mengenai mekanisme
percukaian baharu dalam kalangan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk
Donald Lim Siang Chai hari ini.
Beliau berkata, kempen kesedaran
anjuran Kementerian Kewangan berjalan lancar dan dijangkakan selesai tidak lama
lagi.
"Kami mahu rakyat Malaysia
memahami apa itu GST sebelum Rang Undang-undang mengenainya (GST) dibentangkan
di Parlimen untuk bacaan kedua.
"(Bagaimanapun), rang
undang-undang itu dijangka tidak dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen
akan datang disebabkan saya tidak yakin kempen-kempen kesedaran akan selesai
dalam tempoh itu," katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak CFO 2012
anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), kumpulan pemikir bebas
utama Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Lim
berkata, Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan
supaya tidak melewatkan bayaran kepada kontraktor binaan.
Sambil menegaskan bahawa
kontraktor mesti dibayar dengan cepat, beliau berkata, bayaran perlu dilakukan
mengikut masa yang ditetapkan memandangkan tunai ibarat "nyawa"
kepada mereka (kontraktor), terutama kontraktor kecil.
"Bukan saja agensi kerajaan,
sektor swasta juga wajar mengikuti usaha yang dilakukan oleh agensi dan
kerajaan di Jepun dan Jerman yang membayar kontraktor masing-masing dengan
segera," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment