GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, September 27, 2012

Turunkan cukai individu, korporat


ARKIB : 26/09/2012

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

RATA-RATA rakyat biasa dan ahli perniagaan yang ditemui Utusan Malaysia sebelum ini menyatakan antara harapan terbesar mereka ketika pembentangan Bajet 2013 adalah supaya kadar cukai pendapatan individu dan korporat diturunkan.

Permintaan yang dibuat itu memang mempunyai asasnya kerana kadar cukai pendapatan individu sekarang agak tinggi iaitu 26 peratus berbanding Singapura sebanyak 20 peratus.

Cukai korporat pula adalah sebanyak 25 peratus berbanding negara-negara seperti United Kingdom yang kini sebanyak 24 peratus.

Antara alasan kenapa cukai pendapatan perlu dikurangkan adalah berikutan kenaikan kos sara hidup yang melampau sehingga menjadikan pendapatan sebenar individu berkurangan.

Keadaan itu memang cukup memeritkan terutama bagi mereka yang mempunyai tanggungan keluarga ramai walaupun diakui kerajaan dalam beberapa siri pembentangan bajet sebelum ini telah memberikan rebat bagi membantu mereka.

Selaku pembayar cukai, kita tetap mengharapkan agar kadar cukai individu dapat dikurangkan atau lebih banyak rebat dapat diberi bagi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Abd. Aziz Abu Bakar berkata, kadar cukai pendapatan persendirian ketika ini adalah lebih tinggi daripada negara jiran, justeru sewajarnya diturunkan kepada 24 peratus bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Sememangnya kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan Singapura yang mana kadar cukai pendapatannya adalah 20 peratus. Namun, kita yakin apa yang akan kerajaan umumkan pada belanjawan nanti mengikut kemampuan negara.

"Bajet 2013 pastinya tidak tersasar daripada berpaksikan rakyat dengan mengambil kira pelbagai pendekatan terbaik dalam menuju negara maju serta ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dilema kenaikan kos operasi dan kadar upah buruh yang semakin di luar kawalan yang dihadapi oleh syarikat, Abd. Aziz berkata, cukai korporat juga sewajarnya diturunkan kepada 24 peratus.

"Kita berpendapat langkah menurunkannya akan dapat mengurangkan jurang perbezaan cukai korporat Malaysia dengan negara jiran, sekali gus mampu merangsang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini," katanya.

Bersetuju dengan cadangan itu ialah Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang mengakui cukai korporat di Malaysia pada kadar 25 peratus masih berada di tahap tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain.

"Kami menuntut pengurangan sekurang-kurangnya 20 peratus," katanya.

Mengenai kadar cukai individu, beliau berkata, pengecualian cukai tidak perlu dihadkan kepada RM6,000 tetapi berdasarkan jumlah sebenarnya kerana ia akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Shamsuddin berkata, syarikat-syarikat yang mengambil atau mengekalkan pekerja melebihi had umur persaraan juga perlu diberi ganjaran dengan faedah cukai.

"Orang ramai perlu digalakkan bekerja untuk tempoh jangka masa panjang kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," katanya.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Raja Abdul Aziz Raja Muda Musa berharap kerajaan memperkenal cukai korporat yang lebih kompetitif dalam Bajet 2013.

Beliau berkata, pengeluaran merupakan sektor yang sangat penting, dengan menyumbang kira-kira 29 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

"Selain mengurangkan cukai korporat, kami juga berharap kerajaan menawarkan insentif untuk menarik lebih banyak pelaburan domestik dan FDI," katanya.

Tambah Raja Abdul Aziz, walaupun penurunan cukai korporat akan mengurangkan pendapatan kerajaan, kekurangan itu boleh diimbangi dengan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pihak-pihak berkenaan ternyata telah membuat permintaan masing-masing dan sama-samalah kita tunggu Jumaat ini adakah segala permintaan tersebut ditunaikan?

Jika rakyat menjadikan alasan kenaikan kos hidup sebagai sebab perlu dikurangkan cukai pendapatan, pihak syarikat pula mengharapkan dapat menikmati faedah sama berikutan persetujuan mereka sebelum ini untuk melaksanakan dasar gaji minimum dan lain-lain arahan kerajaan.

Apa pun keputusan kerajaan, yang pasti Bajet 2013 akan memberi fokus mengurangkan hutang negara, melonjakkan ekonomi pada peringkat lebih tinggi dan meringankan beban rakyat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120926/re_05/Turunkan-cukai-individu,-korporat#ixzz2WdFOZTfJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment