GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, September 28, 2012

Kutipan cukai bergantung kepada kestabilan politik


ARKIB : 27/09/2012

BENTONG 26 Sept. - Kestabilan politik merupakan elemen penting bagi memastikan kutipan cukai terus meningkat setiap tahun kerana hanya dengan cara itu aktiviti perniagaan dapat berkembang, sekali gus memastikan hasil negara dapat menampung perbelanjaan untuk rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, justeru, selagi mana kestabilan politik negara berterusan, LHDN yakin sasaran kutipan hasil sebanyak RM110 bilion yang ditetapkan kerajaan tahun ini mampu dicapai malah ia mungkin melebihi jumlah berkenaan.

“Berdasarkan prestasi tahun lepas dan perkembangan semasa dalam negara, saya amat yakin kita mampu mencapai angka yang disasarkan kerajaan tetapi dengan syarat keadaan politik perlu stabil.

“Banyak negara yang jatuh apabila hasil negara tidak cukup seperti Greece dan beberapa negara Arab yang kerajaannya terpaksa berhutang dan apabila itu berlaku, perkembangan ekonomi tersekat dan hasil terus merosot.

“Oleh itu, pada saya kita perlu tekankan kepada rakyat kepentingan kestabilan politik. Ini bukan soal hendak mencuba itu dan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Hasil Bentong, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shukor, selain kestabilan politik, sasaran RM110 bilion itu mampu dicapai kerana dibantu dua lagi faktor iaitu kesedaran pembayar cukai dan kecekapan jentera pentadbiran.

“Dengan tiga elemen tadi, insya-Allah kita tidak ada masalah untuk capai sasaran. Macam tahun lepas kita berjaya kutip RM109 bilion, melebihi sasaran awal RM91 bilion.

“Ia dicapai sebab setiap kutipan membuka kepada perolehan yang lebih besar. Ada orang melaporkan tetapi cara dia melaporkan tak betul. Apabila kita semak, ia tunjukkan ada tambahan bayaran yang perlu dibuat di samping ada yang nak lari cukai," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan-cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak menjelang pembentangan Bajet 2013 Jumaat ini terutama yang berkaitan struktur cukai, Mohd. Shukor berkata, beliau percaya semua perkara tersebut telah diambil kira kerajaan.

Namun, katanya, pada masa sama ada beberapa gambaran tidak tepat apabila ada pihak membandingkan cukai individu dan korporat negara jiran iaitu Singapura lebih rendah berbanding negara ini yang sebenarnya bukan suatu perbandingan adil.

“Sebabnya di Singapura mereka ada pula Cukai Jualan dan Barangan (GST) sebanyak tujuh peratus yang mana GST harus dicampur dengan cukai sedia ada. Apabila dicampur barulah gambaran tepat diperolehi tentang cukai di negara jiran kita itu.

“Dan pengiraan cukai mereka tidak banyak pengecualian. Kita ada pengecualian untuk individu, anak-anak malah beli buku serta komputer juga ada pengecualian. Jadi bila kita nak buat perbandingan, biarlah adil," tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120927/dn_07/Kutipan-cukai-bergantung-kepada-kestabilan-politik#ixzz2WdF15lRW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment