GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, September 5, 2012

Huazong harap Bajet 2013 rangsang permintaan domestik


4 September 2012

KUALA LUMPUR - Persekutuan Persatuan-persatuan Cina di Malaysia (Huazong) berharap Bajet 2013 akan membantu meningkatkan permintaan dalaman bagi merangsang ekonomi domestik memandangkan krisis zon Europah mungkin menjejaskan permintaan luaran, kata Timbalan Setiausaha Agung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kajian Strategik, Prof Dr Chin Yew Sin.
"Permintaan luar dilihat kurang menyakinkan memandangkan prestasi ekonomi luar lemah, terutama krisis zon Eropah serta defisit dagangan di Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama.
Pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September, Yew Sin berkata, Huazong berharap kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan peribadi bagi meningkatkan pendapatan boleh guna supaya orang ramai boleh memiliki lebih banyak wang untuk dibelanjakan dan mewujudkan kesan limpahan bagi merangsang penggunaan domestik.
Penggunaan domestiknya katanya menyumbang lebih daripada 60 peratus keluaran dalam negara kasar Malaysia dan ia dapat menjana pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Bagi meningkatkan lagi permintaan domestik, Yew Sin berharap kerajaan akan meneruskan pusingan kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 serta memberi baucer buku RM200 kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi selain bantuan persekolahan sebanyak RM100 seorang kepada murid sekolah rendah dan menengah.
Selain mengurangkan cukai pendapatan peribadi, beliau juga berharap kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan korporat bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) selain membolehkan syarikat mempunyai lebih banyak dana untuk peluasan.
Cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat Malaysia kini masing-masing sebanyak 26 dan 25 peratus.
Yew Sin berkata, walaupun penurunan cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat akan mengurangkan pendapatan kerajaan, kerajaan wajar melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mengimbangi perbelanjaannya.
Kerajaan katanya, melaksanakan bajet defisit sejak 15 tahun lepas, mulai 1998 hingga 2012, dan pelaksanaan GST dijangka dapat meringankan beban.
"Defisit bajet 2012 kini sebanyak 4.7 peratus, dan ia mesti dikurangkan sebanyak 0.7 setahun bagi membolehkannya mencapai matlamat bajet seimbang menjelang 2020," katanya.
Mengenai harga hartanah yang terus meningkat, Yew Sin berkata, kerajaan mesti memastikan gelembung hartanah tidak berlaku.
Selain menaikkan cukai keuntungan hartanah kepada 10 peratus daripada lima peratus untuk hartanah yang dilupuskan dalam tempoh dua tahun pembelian dan mengetatkan peraturan untuk pinjaman membeli hartanah ketiga, beliau berpendapat kerajaan wajar memberi pelepasan cukai yang lebih tinggi ke atas bahan binaan.
"Punca berlakunya kenaikan harga hartanah sebahagian besarnya disumbangkan oleh kos bahan binaan, selain kos tanah.
"Bagi menanganinya, kerajaan boleh menawarkan pemaju kos penukaran tanah yang lebih rendah selain premium supaya mereka boleh menjual rumah pada harga yang lebih munasabah," katanya.
Yew Sin juga berkata, orang ramai juga mahukan pengangkutan awam yang lebih baik selain penyelesaian terhadap kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, dan oleh itu kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk menanganinya. - Bernama

No comments:

Post a Comment