GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, September 23, 2013

Hartanah terkesan


Publication: HM
Date of publication: Sep 21, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 061
Byline / Author: Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) menjangkakan harga hartanah sama ada kediaman atau komersial akan meningkat sekiranya kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berikutan pertambahan kos sampingan.

Presidennya Matthew Tee berkata, bagaimanapun, MBAM tetap menyokong pelaksanaan GST berikutan ia antara langkah untuk membantu negara menambah pendapatan berbanding sistem cukai yang dilaksanakan kini.

"Kami tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan mahu melaksanakan GST kerana ia cara yang lebih baik untuk menjana pendapatan negara memandangkan dengan sistem yang ada kini, masih terdapat individu dan syarikat yang tidak membayar cukai.

"Maka, kami percaya dengan melaksanakan GST, kerajaan dapat menjana pendapatan daripada hasil cukai dengan lebih baik dan adil," katanya ketika dihubungi Bisnes Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan pelaksanaan GST terhadap harga hartanah memandangkan ia akan membabitkan peningkatan kos tambahan.

Menurutnya, walaupun dalam sistem pelaksanaan GST tidak menetapkan cukai tambahan kepada pembinaan rumah kediaman, namun ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kos pembinaan secara keseluruhan.

"Secara kasar, projek pembinaan kediaman tidak dikenakan GST, namun kontraktor masih perlu menanggung GST yang dikenakan untuk pembinaan projek komersial.

"Sama ada banyak atau sedikit, ia akan memberi kesan kepada kos pembinaan secara keseluruhan dan kami percaya ia akan menyebabkan harga hartanah yang ditawarkan lebih tinggi namun, pada peratusan yang kecil dan tidak terlalu mendadak," katanya.

Tee berkata, pihaknya juga meminta kerajaan memberikan tempoh sewajarnya sebelum GST dilaksanakan bagi memberi ruang kepada kontraktor dan pemaju membuat anggaran kos.

"Sebelum kerajaan benar-benar melaksanakan GST, kami perlu sedikit masa untuk membuat anggaran kos baru dan berbincang sesama ahli MBAM bagi memastikan tiada kontraktor yang menawarkan harga terlalu tinggi atau terlalu rendah kerana ia pasti akan menimbulkan suasana yang tidak baik dalam industri," katanya.

No comments:

Post a Comment