GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Saturday, July 27, 2013

S&P Sahkan Penarafan Ke Atas Malaysia Dengan Prospek Stabil



KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Standard & Poor's Rating Services (S&P) hari ini mengesahkan penarafan kredit berdaulat ke atas Malaysia dengan prospek stabil, mencerminkan paras mudah tunai luaran negara yang kukuh, ekonomi berpendapatan sederhana terbuka dan kompetitif dan fleksibiliti monetari yang besar.

Kekuatan ini dipertimbangkan berbanding defisit fiskal dan peningkatan bebanan hutang kerajaan.

Agensi penarafan itu hari ini mengesahkan penarafan kredit berdaulat mata wang asing jangka panjang 'A-' dan jangka pendek 'A-2' ke atas Malaysia dan juga mengesahkan penarafan kredit berdaulat mata wang tempatan jangka panjang 'A' dan jangka pendek 'A-1' ke atas negara.

S&P juga mengesahkan penarafan skala serantau Aseannya ke atas Malaysia pada 'axAAA/axA-1+'.

Negara memiliki paras aset luaran bersih kira-kira lapan peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), disumbang sebahagian besarnya daripada lebihan perdagangan walaupun mencatatkan penurunan. Rizab rasmi merangkumi kira-kira enam bulan pembayaran akaun semasa.

"Kami mengunjurkan rizab rasmi, aset luar sektor kewangan dan aset luar cair kerajaan melebihi hutang luar kasar sebanyak 10 peratus perolehan akaun semasa pada akhir tahun.

"Walaupun S&P meramalkan lebihan akaun semasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, disebabkan import tinggi barangan modal dan penurunan harga komoditi, kami menjangka Malaysia kekal sebagai pemiutang luar bersih," kata penganalisis kredit Phua Yee Farn dalam satu kenyataan hari ini.

Dasar ekonomi Malaysia secara umumnya pragmatik dan usaha kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan tadbir urus korporat telah menambah baik persekitaran perniagaan negara, katanya.

Beliau berkata walaupun sektor minyak dan gas menjadi tulang belakang ekonomi (kira-kira 20 peratus daripada KDNK), ekonomi agak pelbagai dengan asas pembuatan dan perkhidmatan yang kompetitif.

Rekod bank pusat dalam mengawal inflasi, dengan objektif monetari jelas dan bebas, menunjukkan fleksibiliti monetari kukuh yang mengimbangi kejutan ekonomi utama. Malaysia juga mempunyai pasaran bon domestik kukuh, berbanding kebanyakan pesaingnya, yang mengurangkan pergantungannya kepada pembiayaan luar.

"Pada pandangan kami, pengukuhan fiskal perlahan Malaysia setakat ini berpunca daripada ketidakupayaan untuk mengurangkan dengan besar subsidi yang tinggi dan struktur pendapatannya agak lemah; kerajaan mempunyai pergantungan tinggi kepada pendapatan berkaitan petroleum.

"Ia merancang membaharui sistem subsidinya dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang akan mempercepat pengukuhan fiskal sekiranya dilaksanakan," kata Phua.

Prospek stabil itu mengimbangi paras luar kukuh dan fleksibiliti monetari Malaysia dengan prestasi fiskal yang agak lemah.

Agensi penarafan itu mungkin menaikkan penarafan kredit berdaulat sekiranya pertumbuhan lebih kukuh dan usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan membawa kepada defisit lebih rendah daripada dijangkakan, seperti yang ditunjukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Dengan defisit rendah, hutang kerajaan boleh dikurangkan dengan ketara, kata penganalisis itu.

"Kami mungkin menurunkan penarafan sekiranya kerajaan gagal menyediakan langkah-langkah pembaharuan untuk mengurangkan defisit fiskalnya dan meningkatkan prospek pertumbuhan negara.

"Pembaharuan ini mungkin termasuk melaksanakan GST, mengurangkan subsidi, meningkatkan pelaburan swasta dan mempelbagaikan ekonomi," jelasnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment