GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, April 9, 2010

GST tidak tambah beban rakyat berpendapatan rendah


ARKIB : 08/04/2010


KUALA LUMPUR 7 April - Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar empat peratus tidak akan menambah beban cukai yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan berkenaan yang kini tidak dikenakan cukai pendapatan hanya akan membayar secara purata RM70.08 sebulan sahaja apabila GST dilaksanakan.

''Ini tidak membebankan jika dibanding pada waktu sekarang apabila rakyat berpendapatan rendah membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara purata sebanyak RM79.57 sebulan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, GST yang merupakan satu langkah dalam polisi fiskal kerajaan dijangka dapat memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara terutama ke atas eksport dan sektor pelancongan.

''Jumlah eksport negara dijangka meningkat kerana GST tidak akan dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang dieksport.

''Kerajaan juga akan memperkenalkan skim bayaran balik pelancong yang mana ia membenarkan pelancong asing untuk menuntut kembali GST yang dibayar ke atas pembelian barangan," katanya.

Beliau berkata, langkah membenar GST dituntut kembali akan menarik pelancong asing untuk datang dan berbelanja di Malaysia.

''Langkah ini akan turut menarik mereka membeli barangan bebas cukai di Labuan, Langkawi dan Tioman yang statusnya sebagai pulau bebas cukai akan dikekalkan," kata beliau.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), Najib berkata, kerajaan belum menetapkan tarikh sebenar untuk melaksanakan GST.

''Kerajaan hanya membentangkan Rang Undang-Undang GST untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat manakala tarikh bacaan kali kedua dan ketiga belum ditetapkan lagi," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, kerajaan pada masa sekarang sedang menjalankan kajian untuk merasionalisasikan pemberian subsidi dan berkaitan keperluan menghapuskan duti import barangan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menjalankan kajian mengenai keperluan Lesen Import dan Eksport bagi produk-produk di bawah semua kementerian dan agensi.

''Ini bertujuan memastikan produk tempatan lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0408&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_03.htm#ixzz2WREnvERg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment