GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, August 13, 2012

GST mampu jadi tarikan pelancong


ARKIB : 13/08/2012

AMBANG Aidilfitri semakin menjelma. Umat Islam di seluruh dunia kini sibuk melakukan persiapan untuk menyambut hari istimewa di samping tidak ketinggalan meningkatkan amalan di akhir-akhir bulan Ramadan.

Apa yang menarik, setiap kali munculnya Syawal, aktiviti berkaitan pelancongan juga akan meningkat kerana ramai daripada kita yang akan memanfaatkan cuti panjang sempena hari raya.

Hotel-hotel kebiasaannya akan penuh ketika itu kerana ramai yang akan melancong bersama keluarga, sama ada di dalam atau ke luar negara.

Menyentuh mengenai pelancongan, terutamanya di luar negara, tahukah anda kebanyakan negara-negara di seluruh dunia telah menawarkan skim pemulangan cukai kepada pelancong yang membeli-belah di negara mereka.

Bagaimana mereka melakukannya? Jawapannya mudah sahaja iaitu negara-negara itu telah memperkenalkan skim cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau VST (cukai nilai tambah) yang mana melalui skim itu, setiap pelancong mendapat keistimewaan bayaran balik cukai bagi barangan yang dibeli.

Menarik bukan? Perkara ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan GST dijangka dapat memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara, terutama ke atas eksport dan sektor pelancongan.

Najib dilaporkan berkata, seperti mana-mana negara lain yang telah melaksanakannya, Malaysia juga akan memperkenalkan skim bayaran balik pelancong yang mana mereka boleh menuntut kembali GST yang dibayar ke atas pembelian barangan.

"Langkah ini akan turut menarik mereka membeli barangan bebas cukai di Labuan, Langkawi dan Tioman yang statusnya sebagai pulau bebas cukai akan dikekalkan," kata beliau.

Bagaimanapun setakat ini, Malaysia masih belum melaksanakan GST atau VAT dan kita hanya dapat melihat bagaimana ia berfungsi apabila melancong ke negara-negara yang telah melaksanakannya.

Menuntut pemulangan cukai

Sebenarnya, ramai juga daripada kita masih tidak mengetahui mengenai kelebihan yang ditawarkan sebagai pelancong ketika membeli-belah di negara yang telah melaksanakan GST/VAD.

Sebagai contoh, setiap tahun, pelancong yang melawat negara-negara Eropah telah meninggalkan berjuta-juta dolar cukai yang tidak dituntut selepas membeli barangan di negara-negara yang melaksanakan GST/VAT itu.

Sebenarnya sebagai pelancong, apabila berada di lapangan terbang atau sempadan ketika hendak keluar dari negara itu, kita boleh menuntut kembali cukai GST/VAT yang dibayar ketika membeli barangan tertentu.

Terdapat prosedur mudah yang perlu diikuti untuk menuntut cukai yang telah dibayar itu.

1. Bawa pasport - Sebaik-baiknya bawa pasport ketika berjalan di negara orang, terutama jika anda ingin mendapatkan pulangan cukai dari barangan yang dibeli.

2. Beli barang di kedai-kedai yang mengambil bahagian - Kebiasaannya peruncit boleh memilih untuk menyertai skim pemulangan GST/VAT dan ia dipaparkan di kedai mereka. Bagaimanapun, adalah lebih baik mendapatkan kepastian dengan bertanya dahulu sebelum membeli.

3. Lengkapkan dokumen - Sebaik sahaja membeli, pastikan pekedai mengisi dokumen pemulangan cukai dikenali sebagai 'cek' dengan lengkap dan kemudian kepilkan bersama resit dan simpan.

Bagi kedai yang mempunyai pelekat 'Rangkaian Beli-belah Bebas Cukai', ia akan lebih mudah kerana pekedai boleh menghantar dokumen bagi pihak anda dan seterusnya wang pemulangan cukai dimasukkan terus ke akaun kad kredit anda.

4. Bawa dokumen, resit dan barangan yang belum digunakan bersama apabila hendak keluar dari negara itu.

5. Copkan dokumen anda di pejabat kastam di lapangan terbang dan pastikan bawa barangan yang dibeli. Sebaik-baiknya jangan pakai dahulu pakaian atau kasut baru anda itu.

6. Menuntut wang - Anda hanya perlu mencari perkhidmatan bayaran balik seperti pejabat Blue Global atau Premier Bebas Cukai (EU) di lapangan terbang atau sempadan.

Selepas menyemak dokumen, mereka boleh memberikan anda bayaran balik secara tunai atau mengkreditkan bayaran balik ke kad kredit anda dalam tempoh bil yang seterusnya.

Jika anda tidak dapat mencari perkhidmatan seperti di atas, ini bermakna kedai yang anda beli barangan mengendalikan bayaran balik VAT/GST secara langsung dan anda perlu menghantar dokumen dari lapangan terbang atau sempadan melalui sampul surat yang disetemkan kepada alamat dibekalkan oleh pekedai.

Kemudian, wang itu akan dikreditkan ke kad kredit anda.

GST atau VAT merupakan salah satu daripada pelbagai jenis cukai yang diperkenalkan di sesebuah negara. Ia telah diperkenalkan di lebih 140 negara dan negara kita juga tidak ketinggalan akan memperkenalkannya tidak lama lagi.

Apabila diperkenalkan kelak, GST akan menggantikan skim cukai perkhidmatan dan cukai jualan yang dilaksanakan masa kini.

Jika kadar GST ialah 4 peratus atau 5 peratus, sudah tentu ia jauh lebih rendah daripada kadar cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikenakan sekarang.

Apabila diperkenalkan kelak, sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada kita dan juga para pelancong yang boleh mendapat rebat GST apabila berbelanja di negara ini.

Bersambung Selasa depan.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment