GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Sunday, April 28, 2013

MIA: Undilah dengan bijak untuk kebaikan Malaysia


27 April 2013
JOHOR BAHRU - Malaysia pada umumnya secara fiskal dan ekonomi amat sihat dengan penarafan kedaulatan yang baik iaitu A- diberikan oleh Standard & Poor's.
Ini amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan banyak negara penarafan kedaulatan lain yang berhadapan dengan penurunan baru-baru ini, kata Pengasas dan Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA) Datuk Dr P.H.S. Lim.
"Kita merupakan ekonomi terbesar ke-15 terkemuka dunia seperti mana yang ditarafkan oleh Bank Dunia, mencapai purata 6.4 peratus pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tempoh 1970-2011. Tahun ini, kita mungkin lihat pertumbuhan KDNK 5.1 peratus walaupun berlakunya kelembapan ekonomi global di Eropah dan rantau-rantau lain.
"Kita mempunyai rizab asing antarabangsa RM432 bilion yang terdiri 9.9 bulan import tertunda dan 4.6 kali hutang luar jangka pendek," kata beliau kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.
Menurut beliau, kerajaan Malaysia berhasrat mengekalkan defisit belanjawan empat peratus daripada KDNK berbanding 4.5 peratus pada 2012.
Dalam tahun 2009, defisit belanjawan ialah 6.9 peratus disebabkan terutamanya oleh RM800 juta yang digunakan untuk pelbagai rancangan rangsangan yang dilaksanakan serentak dengan Amerika Syarikat (AS) untuk melonjakkan ekonomi global yang tertekan.
Krisis kewangan AS disebabkan oleh pembayaran berlebihan ke atas kediaman yang telah mencetuskan krisis global.
Dengan Pilihan Raya ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei, kedua-dua  pihak, Barisan Nasional (BN) dan PR (Pakatan Rakyat) telah melancarkan manifesto masing-masing baru-baru ini.
Untuk memenangi hati para pengundi, manifesto itu cenderung untuk mengandungi "banyak pemanis".
Lim berkata kerajaan yang terpilih kelak yang akan melaksanakan segala manifesto yang dijanjikan perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membantu warga berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau berkata kerajaan telah membelanjakan sehingga RM50 bilion setahun dalam pelbagai subsidi untuk harga petrol sehinggalah makanan termasuk gula dan minyak masak selain daripada subsidi perubatan.
"Kerajaan yang akan terpilih ini mungkin memilih untuk memberi bantuan tunai secara langsung kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mengurangkan subsidi," kata beliau.
Dengan langkah-langkah sedemikian, Malaysia kini bergerak ke arah kerajaan sosialistik untuk menjaga kebajikan rakyatnya.
Dari satu sudut, bagi mengurangkan defisit belanjawan negara, dan untuk membelanjakan lebih banyak wang bagi perbelanjaan, kerajaan yang bakal terpilih ini perlu mengambil jalan menaikkan cukai menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dalam tempoh dua tahun akan datang.
Cukai-cukai sedemikian pada permulaannya mungkin akan meningkatkan inflasi tetapi ia lebih berasas luas.
Menurut Lim, kerajaan telah bergerak ke arah dasar "Rakyat Didahulukan" dan ia merupakan satu langkah yang betul.
Sementara itu, menyentuh mengenai pilihan raya yang bakal datang ini, Lim berkata, pilihan raya yang ke-13 ini mempunyai 13.1 juta pengundi dengan 2.9 juta pengundi baharu dan ia amat penting dengan ramai calon persendirian turut bertanding.
Dengan perang siber dan e-mel berbau kebencian terus menular, ia mungkin menyaksikan keputusan tipis 222 kerusi parlimen ataupun kemenangan besar untuk BN.
Tidak seperti pilihan raya AS, parti-parti berjuang ke atas dasar-dasar ekonomi dan sosial. Walaupun, ada sesetengah pengundi Malaysia tampak emosional, ramai yang hari ini yang lebih maju dan berpelajaran.
"BN telah berusaha keras dengan Program Transformasi Ekonomi dan dasar Rakyat Didahulukan.
"Malaysia telah benar-benar berubah dan BN seharusnya boleh bergerak "ke hadapan" kerana negara ini diberkati dengan sumber-sumber yang kaya.
"Dengan pengurusan baik kekayaan dan pendapatan negara, kurang pembaziran ekonomi, kurang tanggapan terhadap rasuah, diikuti dengan kemakmuran ekonomi, keamanan dan keharmonian, Malaysia boleh menjadi model kepada dunia.
"Undilah dengan bijak untuk menjadikan Malaysia lebih baik -- aman, stabil dan berkembang maju dalam dunia yang serba kompetitif.
"Ia adalah tanggungjawab rakyat Malaysia walaupun mengundi bukanlah wajib di Malaysia. Cintailah Malaysia," tegas beliau. - Bernama

No comments:

Post a Comment