GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 30, 2012

Langkah Wanita makin berani


Publication: BH
Date of publication: Nov 29, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 013
Byline / Author: Oleh Veena Rusli

Di sebalik peranan tradisi selaku perayu undi lantaran dilihat paling dekat dengan masyarakat, Wanita UMNO jelas memiliki kesedaran tertinggi dalam menyuntik nilai tambah sebagai pengukuh perjuangannya.

Tanpa mengabaikan tanggungjawab hakiki, ahlinya lancar membicarakan isu kepentingan bersama seperti keperluan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kepentingan media sosial dimanfaatkan sebagai antara medium utama kempen pilihan raya dan bagaimana anak muda harus didekati untuk bersama UMNO.

Langkah Wanita UMNO sudah jauh ke hadapan. Sekali lawan bersuara, tiga kali mereka menjawab, sepatah lawan menyakat, tiga patah mereka menyengat. Zaman Wanita UMNO diam membisu sudah lama berlalu kerana mereka menyedari maruah parti perlu diletak di pelantar tertinggi.

Pengisian yang lebih relevan dengan perkembangan semasa membuktikan sayap UMNO pimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu sekata untuk menjadikan medan tempur Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seolah-olah misi menentukan hidup mati parti.

Berganding bahu

Parti akan terus hidup, kata perwakilan Perak, Datin Normahanum Ibrahim, sekiranya ahli memahami peri pentingnya mereka berganding bahu dalam mengotakan janji untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

"Kita buat apa yang kita katakan. Kalau kita ikhlas, Insya-Allah, rakyat akan bersama kita. Semua pihak menyedari kepentingan PRU-13 dan usaha sedia perlu diteruskan, selain ditambah apa yang perlu," katanya.

Harus diakui, jenama Wanita UMNO selaku aset signifikan parti di peringkat akar umbi, dari bandar hingga ke kampung dan dari pekan hingga ke pedalaman, perlu dipertahankan, sejajar kedudukannya yang sebati dengan kehidupan rakyat.

Selepas sekian lama berbakti, tenaga penggerak sayap itu bukan sekadar diperlukan untuk khidmat asas seperti mengetuk pintu rumah orang kampung bagi bertanya khabar sakit pening dan beramai-ramai membantu menyediakan juadah di pusat penempatan sementara apabila bah melanda.

Sebaliknya, langkah ahli Wanita UMNO kini jauh ke hadapan. Keberanian Wanita UMNO dalam menyesuaikan pendekatan politiknya seiring keperluan semasa adalah isyarat jelas kesediaan anak buah Shahrizat menjulang tanggungjawab diamanahkan pucuk pimpinan.

Bergerak bersama

Paling utama, keterbukaan sikap ahlinya bergerak bersama rakan parti komponen naungan Barisan Nasional (BN) membolehkan capaian lebih meluas dalam kalangan masyarakat tanpa batasan polarisasi kaum.

Mungkin pesanan Shahrizat kepada semua ahlinya meninggalkan kesan mendalam di hati mereka: "Pastikan kita mempunyai hubungan baik dengan ketua bahagian dan semua pimpinan bahagian. Ini akan memudahkan kerja kerana keutamaan kita ialah memastikan nasib rakyat terbela."

Lewat petang semalam, perwakilan Wanita UMNO meninggalkan persidangan terakhir sebelum PRU-13 dengan berbekalkan momentum persediaan mental tertinggi untuk meneruskan perjuangan parti.

Ada kalanya, keyakinan disalahtafsir sebagai keangkuhan tetapi dengan Wanita UMNO, pakejnya adalah lambang keyakinan sebenar.

No comments:

Post a Comment