GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, December 14, 2011

Hutang isi rumah negara pada paras terurus


ARKIB : 13/12/2011

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Hutang isi rumah di Malaysia masih berada pada paras yang terurus dengan nisbah hutang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal stabil pada 77.6 peratus bagi suku ketiga 2011.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, sehingga akhir Oktober tahun ini, hutang isi rumah berjumlah RM636.6 bilion dengan sebahagian besar merupakan pinjaman bersandarkan aset iaitu pembelian kediaman dengan nilai RM286.7 bilion dan diikuti pinjaman kenderaan (RM120.9 bilion).

"Pada masa sama, kedudukan nisbah aset kewangan kepada jumlah hutang isi rumah adalah lebih dua kali ganda di peringkat agregat dan mampu menyediakan penampan yang selesa untuk menyokong keupayaan isi rumah membayar balik hutang.

"Selain itu, peningkatan hutang isi rumah turut disokong oleh keadaan ekonomi yang terus berkembang, peningkatan pendapatan isi rumah , kaedah guna tenaga yang menggalakkan dan paras simpanan yang tinggi," katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Senator Norliza Abdul Rahman yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan hutang isi rumah.

Menurut Donald, bagi memastikan sektor isi rumah kekal berdaya tahan dan memastikan tahap hutang berapa pada paras yang mapan, beberapa strategi telah diambil seperti mengenakan syarat yang lebih ketat bagi pemilikan kad kredit.

"Kerajaan juga memperkenalkan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda yang bertujuan untuk meningkatkan tahap pemahaman ilmu kewangan dan kemahiran bagi peminjam baru dan golongan muda.

"Di samping itu, khidmat nasihat dan pertolongan dalam menguruskan kredit dan kewangan kepada peminjam serta menstruktur semula hutang mereka dengan pihak bank melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit turut disediakan.

"Langkah lain ialah termasuklah mengenakan nisbah maksimum sebanyak 70 peratus bagi pinjaman rumah ketiga untuk mengurangkan kegiatan spekulatif dan memastikan orang ramai terus mampu memiliki rumah," katanya.

Katanya, satu garis panduan kepada institusi kewangan bagi menggalakkan amalan pembiayaan runcit berhemat telah diperkenalkan pada 18 November 2011.

"Garis panduan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2012 ini bertujuan menggalakkan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna dan pasaran kredit serta memelihara kestabilan kewangan dan makro ekonomi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Donald berkata, pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Barangan (GST) bertujuan menyusun semula sistem percukaian sedia ada supaya menjadi lebih komprehensif.

"Ia merupakan satu langkah dalam polisi fiskal bagi mempelbagaikan sumber hasil negara supaya tidak terlalu bergantung kepada cukai pendapatan dan petroleum.

"Kerajaan sedar akan pengalaman negara-negara lain yang telah mengurang kadar cukai pendapatan individu apabila GST dilaksanakan di negara mereka. Cadangan pengurangan cukai pendapatan individu merupakan salah satu langkah kerajaan dalam penstrukturan semula sistem percukaian negara.

"Namun begitu, ketika ini keutamaan kerajaan adalah memastikan agar GST dapat dilaksanakan dengan jayanya dan diterima rakyat," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Chiew Lian Keng yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengurangkan jumlah pengutipan cukai pendapatan perseorangan sekiranya GST dilaksanakan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1213&pub=utusan_malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_04.htm#ixzz2Wcz7xuqZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment